Jika anda lahir sekitar tahun 80-an ke 90-an, anda mungkin pernah mendengar nama Abu Nawas. Namanya kerap disebut dalam cerita kanak-kanak dan penceritaan kisah 1001 malam berlatarkan zaman pemerintahan Islam di Baghdad.
Bahkan dalam penerbitan Melayu lama juga ada naskhah bertajuk Hikayat Abu Nawas. Dia dikenali sebagai seorang yang pintar tetapi kuat berjenaka. Kisah-kisah yang ditampilkan pula lucu dan sarat pengajaran menunjukkan watak Abu Nawas yang panjang akalnya.
Tetapi adakah Abu Nawas benar-benar wujud atau hanyalah watak ciptaan penulis sahaja.
Bagi merungkai persoalan ini, pihak Tzkrh telah merujuk kepada satu artikel yang telah diterbitkan oleh pihak Maktabah Al-Bakri yang bertajuk Abu Nawas: Realiti atau Fantasi.
Abu Nawas sebenarnya memang benar-benar wujud. Nama penuhnya ialah Abu Nuwas Al-Hasan bin Hani al-Hakami, dipanggil dengan nama Abu Nawas atau Abu Nuwas.
Abu Nawas lahir pada tahun 145 Hijrah, berasal daripada bandar Ahwaz, Parsi dan berketurunan bangsawan Al-Baramikah. Beliau membesar di Basrah dan kemudiannya berhijrah ke Baghdad.
Abu Nawas terkenal kerana beliau merupakan seorang penyair yang banyak mencetuskan reformasi. Kekayaan ilmunya dalam bidang sastera dan kepintarannya berbahasa bertitik tolak daripada penjaga yang menjaganya selepas kematian bapanya iaitu Khalaf al-Ahmar, seorang syeikh dalam bidang bahasa sastera dan syair.
Abu Nawas mempunyai hubungan yang rapat dengan Khalifah Harun al-Rasyid dan anak kepada Khalifah Harun iaitu Al-Amin. Syair-syair yang dicipta berisi pujian kepada pemerintah menjadikan beliau rapat dengan mereka.
Walaupun begitu, beliau juga pernah dipenjara oleh khalifah kerana syairnya banyak menunjukkan kerosakan akhlak. Dikatakan beliau pernah memuji arak dalam kalangan orang Arab tetapi telah bertaubat dan kembali menjadi hamba Allah yang zuhud.
Pada usia 30 tahun, saat beliau sudah mencapai tahap yang tinggi dalam kemahiran bahasa dan sastera, beliau kemudiannya mendalami ilmu agama yang lain termasuk fiqah, hadis, ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran dan lain-lain.
Ibnu Al-Mu’taz dalam kitabnya Tabaqat al-Syu’ara’ pernah memberi ulasan bahawa, Abu Nawas seorang yang alim, faqih, dan mengetahui pelbagai hukum dan fatwa. Selain itu, beliau juga menguasai khilaf ulama, mempunyai daya ingatan yang kuat dan berupaya mengetahui banyak jalur hadis.
Para ulama khilaf di mana tempat Abu Nawas meninggal. Ada yang berpandangan beliau meninggal di rumah Ismail bin Nubikhat dan ada yang mengatakan di penjara. Manakala sebab kematiannya pula dikatakan kerana diracun disebabkan ketajaman lidahnya dengan syair.
Ada sebuah syair terkenal yang kekal diungkapkan hingga ke zaman sekarang. Ia dikatakan syair yang pernah dilaungkan ketika beliau hampir ke hujung hayatnya:
إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
“Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu, Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu. Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.”
Sumber:
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2022). #10 Abu Nawas: Realiti atau Fantasi. Maktabah al-Bakri.

