Site icon Tazkirah

Hindun Makan Hati Hamzah R.A – Kisah Masyhur Tetapi Tidak Sahih

Masyhur diceritakan suatu kisah yang menyayat hati yang dikatakan pernah berlaku dalam sejarah Islam iaitu Hindun memakan hati sahabat Nabi SAW yang bernama Hamzah RA. Kisah ini banyak diceritakan dalam buku-buku sirah, dan semuanya diambil daripada jalur Ibn Ishaq.

Hindun binti Utbah sebenarnya merupakan isteri kepada Abu Sufyan, seorang pembesar yang berkuasa di Mekah yang pada awalnya adalah penentang utama dakwah Rasulullah SAW. Dia juga adalah ibu kepada Muawiyah, pengasas kepada kerajaan Umayyah dan Ummu Habibah (Ramlah binti Abu Sufyan) yang menjadi salah seorang isteri Rasulullah SAW.

Bermakna, Hindun adalah ibu mertua kepada baginda. Saidina Hamzah RA pula ialah bapa saudara Nabi SAW dan beliau antara orang yang gugur syahid dalam peperangan Uhud.

Menurut penceritaan Ibnu Ishaq, Hindun binti Utbah dan perempuan-perempuan lain memotong telinga-telinga dan hidung-hidung sahabat Rasulullah SAW yang terbunuh. Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung mereka untuk dijadikan gelang kaki dan rantai-rantai, lalu memberikannya kepada Wahsyi, hamba Jubair bin Muth’im yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah RA.

Ibnu Ishaq memberitahu bahawa riwayat yang diambilnya daripada Soleh bin Kaisan, iaitu seorang tabi’i kecil dan boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, Soleh bin Kaisan lahir pada 70 Hijrah dan meninggal dunia pada 140 Hijrah. Beliau juga tua sedikit daripada Ibnu Ishaq.

Peristiwa peperangan Uhud pula telah berlaku 70 tahun lamanya sebelum beliau lahir, bermakna cerita yang dinukilkan oleh Soleh bin Kaisan diambil daripada para tabi’i yang lain. Justeru sanad riwayat ini dikategorikan sebagai mursal dan tidak boleh diterima.

Selain itu, cerita yang lebih kurang sama juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Ibnu Mas’ud RA:

Maksudnya: “… lalu para sahabat mencari dan menjumpai Hamzah dalam keadaan terbedah perutnya. Hindun telah mengambil hati Hamzah dan mengunyahnya, namun dia tidak dapat untuk menelannya. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah dia memakan sesuatu (daripada tubuh Hamzah)?” Para shahabat menjawab, “Tidak!”. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah Allah akan memasukkan sesuatu pun dari jasad Hamzah ke dalam neraka. Lalu baginda pun mensolatkannya… [(Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya (4414)]

Walau bagaimanapun, ulasan Ibnu Kathir dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah menyatakan bahawa Imam Ahmad bersendiri dalam meriwayatkannya dan sanad hadis ini mengandungi kelemahan daripada jalur ‘Atha’ bin as-Sa-ib.

Secara logiknya, jika peristiwa ini benar-benar berlaku, tentu ada sahabat yang meriwayatkan peristiwa ini dengan jalur periwayatan yang lebih sahih.

Justeru, berdasarkan penjelasan ini, jelas bahawa kebanyakan riwayat yang menceritakan mengenai Hindun memakan hati Saidina Hamzah adalah tidak sahih. Tetapi kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad para sahabat yang mati syahid dalam perang Uhud memang benar-benar berlaku dan ada dinukilkan dalam Kitab Sahih Bukhari.

Akhirnya, Wahsyi yang diketahui umum sebagai pembunuh upahan yang membunuh Saidina Hamzah, serta tuannya Jubair bin Muth’im telah memeluk Islam. Malah Hindun yang awalnya penentang dakwah Nabi SAW juga telah mendapat cahaya kebenaran Islam.

Sumber:
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2022). #7 Kesahihan Kisah Hindun Makan Hati Hamzah R.A. Maktabah Al-Bakri.

Exit mobile version