Oleh Natirah Azira • 16 Aug 2022 • 1 min baca
Menerusi kenyataan media Mufti Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini, telah dimaklumkan bahawa kebenaran mendirikan Jumaat secara sementara di surau-surau negeri Melaka akan ditamatkan, berkuatkuasa pada 19 Ogos 2022.
Umum mengetahui, ketika suasana Covid-19 meruncing, kebenaran dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau-surau bagi mengekang penularan wabak.
Oleh kerana telah masuk fasa peralihan ke endemik, maka bermula pada tarikh 19 Ogos 2022, semua anak kariah mestilah kembali mendirikan Jumaat di masjid kariah.
Keputusan ini telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali.
Arahan ini juga selaras dengan anjuran daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang telah bersidang pada 27 Jun 2022 untuk menamatkan kebenaran sementara kerana Covid-19 yang diberikan kepada surau-surau negeri Melaka. Ia berdasarkan justifikasi di bawah:
a) Ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa.
b) Mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid-masjid.
c) Mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti-aktiviti masjid.
Pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada semua surau yang telah terlibat mengambil tanggungjawab mendirikan Jumaat bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di Melaka menunaikan mendirikan Jumaat dalam tempoh Covid-19.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.