Oleh Natirah Azira • 12 Aug 2022 • 4 min baca
Fasa pertunangan adalah fasa baru yang menandakan pasangan lelaki dan wanita mulai serius untuk mempersiapkan diri ke arah perkahwinan.
Ketika ini, ramai pihak yang akan mula mengingatkan bahawa kemungkinan banyak ‘ujian pertunangan’ yang akan dilalui seperti hati rasa ragu-ragu, kerap bergaduh, kehadiran orang ketiga dan lain-lain. Semakin dekat dengan tarikh perkahwinan, ramai juga yang menghadapi perselisihan faham yang semakin kerap.
“Sabar, ini ujian pertunangan. Syaitan memang suka tengok umat Islam tak jadi nak dirikan rumah tangga”
Inilah kata-kata yang akan diucapkan ramai orang sebagai nasihat kepada pasangan yang menghadapi konflik semasa dalam tempoh pertunangan. Dalam erti kata lain, ujian ini perlu dihadapi dengan sabar agar tidak tewas di tengah jalan sebelum pernikahan berjaya dilangsungkan.
Tetapi, jika difikirkan, adakah wajar untuk menyandarkan semua konflik yang dihadapi dalam tempoh ini sebagai ujian pertunangan yang perlu ditelan bulat-bulat, atau ada sesuatu yang masih perlu diteliti?
Hubungan dalam tempoh percintaan memang banyak manisnya. Kata orang mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena. Dalam tempoh cinta, banyak perkara yang akan dikompromikan. Ramai yang akan menutup sebelah mata dengan perangai dan tabiat pasangan yang jelas bermasalah.
Ketika zaman bercinta juga, mungkin tidak ada banyak konflik besar yang perlu diselesaikan. Rata-rata yang digaduhkan adalah isu perhatian, waktu untuk berhubung dan keluar makan.
Kerana sayang dan sudah jatuh hati, maka hati lebih banyak bersabar. Jika masalah yang diperselisihkan kecil, mungkin tidak memberikan banyak kesan, tetapi jika yang ditelan adalah kesalahan besar, lama kelamaan hati sendiri akan penat dan berlakulah tawar hati, kurang berminat dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, fasa pertunangan adalah fasa yang berbeza. Ia fasa yang bukan berisi bunga-bunga cinta sahaja atau fasa menutup mata.
Konflik akan kerap berlaku kerana hubungan semakin serius dan banyak masalah realiti hidup yang perlu diselesaikan seperti perbelanjaan wang, simpanan, waktu bekerja, waktu bersosial dan lain-lain. Ia memerlukan kemahiran dari kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya.
Antara kemahiran yang diperlukan seperti berbincang dengan mengekalkan rasa hormat, kemahiran berterus terang dan juga kemahiran untuk mencari titik tengah apabila kedua-dua pihak mempunyai pendapat berbeza.
Masalah yang timbul akan menyerlahkan karakter sebenar seseorang – adakah dia seorang yang suka lari daripada masalah, adakah suka menyalahkan, adakah akan marah sehingga ke tahap menghina atau memukul dan sebagainya.
Setiap perbuatan yang disebutkan di atas jelas tidak sihat dalam perhubungan. Ini bukan lagi ‘ujian pertunangan’ yang biasa tetapi telah melibatkan perkara teras dalam perhubungan iaitu prinsip hidup, tabiat, karakter serta nilai yang dibawa dalam perhubungan.
“Habis tu, takkan nak putus. Semua persiapan kahwin dah buat!”
Ada keadaan yang memerlukan anda membuat keputusan yang sukar, lebih-lebih lagi jika tabiat yang toksik seperti menghina dan memukul oleh pasangan masih tidak dapat diubah. Sesetengah tabiat lain seperti ‘mengelak konflik’ dan ‘suka menyalahkan’ masih boleh diusahakan, terutama dengan bantuan profesional seperti kaunselor perkahwinan.
Anda boleh bertanya soalan-soalan seperti di bawah sebagai panduan:
Adakah pasangan kerap marah atau memang ada masalah panas baran?
Adakah pasangan kerap terlupa atau memang tidak ambil peduli?
Adakah pasangan hanya melarang atau mengongkong keterlaluan?
Perlu difahami, ada tabiat dan karakter yang telah berakar umbi dalam diri sebelum berada dalam perhubungan lagi. Ia kadang-kadang dibentuk oleh cara dibesarkan dan pengaruh persekitaran semasa membesar. Jika tabiat yang salah dan tidak sihat itu baru disedari semasa tempoh pertunangan, anda masih mempunyai ruang untuk sama-sama berusaha menyelesaikan.
Tidak dinafikan, ujian pertunangan yang normal itu ada, contohnya ada individu yang boleh menggugat keharmonian perhubungan hadir secara tiba-tiba. Ada juga berlaku ketidaklancaran dari segi komunikasi ibu bapa pasangan dan sebagainya. Tetapi, jika kedua-dua pasangan mempunyai hubungan yang sihat dan saling mempertahankan, maka InsyaAllah setiap konflik yang datang mampu dihadapi dengan jaya.
Justeru, nilai semula perhubungan anda, apa yang boleh diperbaiki dan diubah, apa yang wajar dipertahankan dan apa yang tidak. Tidak semua konflik semasa pertunangan perlu dianggap sebagai ujian pertunangan yang hanya perlu ditelan. Konflik yang berlaku perlu benar-benar diselesaikan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.