Kita inginkan takdir-takdir yang baik berlaku dalam hidup. Baik dalam pandangan kita mungkin seperti hari yang lancar tanpa masalah, berjumpa dengan orang yang baik, serta bekerja dalam suasana yang tenang tanpa cabaran.
Ada pula perkara baik yang segera diberikan, ada pula menuntut penantian yang lama. Pendek kata, kebaikan ada bermacam rupa dan jalan untuk datang kepada kita.
Walau bagaimanapun, baik dalam pandangan Allah tidak semestinya setiap perkara yang menggembirakan sahaja. Allah tahu setiap perkara yang kita perlukan dalam hidup yang boleh menguatkan, yang boleh meningkatkan sabar dan menjadikan kita seorang yang berdaya tahan.
Ada suatu doa yang sangat besar maknanya yang merangkumi permohonan diberikan takdir yang baik dalam hidup. Rasulullah SAW pernah mengajarkan doa ini kepada Ummul Mukminin ‘Aisyah RA.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا
(Allohumma inni as-aluka minal khoiri kullihi ‘aajilihi wa aajilih, maa ‘alimtu minhu wa maa lam a’lam. Wa a’udzu bika minasy syarri kullihi ‘aajilihi wa aajilih, maa ‘alimtu minhu wa maa lam a’lam. Allohumma inni as-aluka min khoiri maa sa-alaka ‘abduka wa nabiyyuk Muhammadun Sollallahu ‘alaihi wa sallam. Wa a’udzu bika min syarri maa ‘aadza bihi ‘abduka wa nabiyyuk. Allohumma inni as alukal jannah wa maa qorroba ilaihaa min qoulin aw ‘amal. Wa ‘audzu bika minan naari wa maa qorroba ilaihaa min qoulin aw ‘amal. Wa as-aluka an taj’ala kulla qodhoo-in qodhoitahu lii khoiroo)
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui. Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui.
Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan Nabi-Mu.
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan aku memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untukku.” [HR. Ibnu Majah, (no. 3846) dan Ahmad, (6:133). Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih]
Demikian doa yang merangkumi doa-doa baik yang diminta oleh para hamba yang soleh serta baginda SAW sendiri. Ia agak panjang tetapi jika dapat dihafal dan diamalkan, pasti sangat bermakna kerana kita dapat memohon apa jua kebaikan yang pernah diminta oleh hamba-hambaNya.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2019). Doa Agar Semua Takdir Kita Baik. rumaysho.com

