Uncategorized

Elak 7 Perkara Ini Untuk Budaya Kerja Yang Berkat Dan Sihat

Oleh Natirah Azira  •  11 Aug 2022  •  5 min baca

Tempat kerja yang kita tuju setiap hari adalah tempat kita mencari rezeki. Tempat kita mencurahkan usaha, dan menuai rezeki untuk dibawa pulang kepada keluarga.

Tapi ada kalanya, tempat kerja boleh menjadi tempat yang dibenci kerana begitu banyak ‘drama’ atau politik tempat kerja yang terjadi, sama ada ia berpunca daripada diri kita sendiri atau daripada orang lain.

Kadang-kadang, kerana hal-hal yang ditegah oleh agama berlaku, maka ketenangan di tempat kerja tidak dapat dirasai. Berikut adalah tujuh perkara yang perlu dielakkan berlaku di tempat kerja untuk mencapai keberkatan dan rasa tenang semasa bekerja.

#1- Perasaan Cemburu Dengan Pencapaian Orang Lain

Tengok rakan sekerja dipuji atau mendapat kelebihan tertentu, ada perasaan tidak enak menyelinap ke dalam hati. Ia adalah perasaan cemburu kepada apa yang diperoleh oleh dia, dan diri tidak mendapat hal yang sama.

Dalam Islam, rasa cemburu atau dengki ini disebut sebagai rasa hasad.

Kata Ibnu Taimiyah rahimahullah;

الْحَسَدَ هُوَ الْبُغْضُ وَالْكَرَاهَةُ لِمَا يَرَاهُ مِنْ حُسْنِ حَالِ الْمَحْسُودِ

“Hasad adalah membenci dan tidak suka terhadap keadaan baik yang ada pada orang yang dihasad.” (Majmu’ah Al-Fatawa, 10:111)

Manakala Syeikh Musthafa Al-‘Adawi mengatakan bahawa hasad adalah inginkan hilangnya nikmat yang ada pada orang lain. Kata Imam Ghazali, sekalipun seseorang tidak ada niat untuk nikmat itu hilang dari orang yang mendapatnya, ia tetap dikira sebagai hasad.

#2- Rasa Malas Dan Tidak Bersemangat

Rasa malas dan tidak bersemangat perlu diperiksa daripada mana puncanya. Ia boleh jadi daripada faktor luaran seperti gaya kerja dan tugasan yang tidak sesuai dengan diri. Jika ini yang terjadi, maka perbincangan yang sihat perlu dilakukan dengan ketua atau majikan.

Namun, ada kalanya rasa malas dan tidak bersemangat datang daripada diri sendiri atau bisikan-bisikan syaitan yang sememangnya suka jika kita tidak menunaikan amanah dengan sebaiknya.

Disebabkan itu, ada pemandangan yang dilihat seperti culas dengan waktu kerja – datang lambat, menghabiskan masa yang lama apabila makan, bersembang dan merokok.

Elak daripada perasaan lemah dan malas dengan membaca doa di bawah:

Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

(Allahumma inni a’udzu bika minal ‘ajzi, wal kasali, wal jubni, wal haromi, wal bukhl. Wa a’udzu bika min ‘adzabil qobri wa min fitnatil mahyaa wal mamaat. )

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, rasa malas, rasa takut, kejelekan di waktu tua, dan sifat kikir. Dan aku juga berlindung kepadaMu dari siksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian).” (HR. Bukhari no. 6367 dan Muslim no. 2706)

#3- Gurauan Berbaur Seksual Dan Lucah

Banyak kes yang didengari berkait dengan gangguan seksual di tempat kerja. Ia boleh berlaku dalam bentuk tindakan mahupun lisan seperti kata-kata lucah yang dibualkan bersama rakan sekerja. Tidak dinafikan, ada golongan wanita yang ‘sama naiknya’.

Jika anda adalah orang yang melakukannya, sedarlah bahawa ia suatu perkara yang salah dari segi agama dan undang-undang serta tidak perlu dibudayakan. Hal rumah tangga yang peribadi tidak perlu dibawa hingga ke pejabat. Ia juga tidak boleh disandarkan kepada alasan gurauan sahaja.

Jika anda adalah orang yang terpaksa berhadapan dengan situasi begini, anda mempunyai hak untuk melaporkan kepada bahagian sumber manusia yang bertugas menjaga kebajikan para pekerja.

#4- Mengganggu Orang Lain

Produktiviti kerja juga boleh menurun apabila ada gangguan – diri diganggu atau diri sendiri yang mengganggu orang lain.

Gangguan boleh berlaku dalam bentuk yang pelbagai contohnya bercakap dan ketawa dengan kuat sehingga orang lain terganggu. Ada pula yang suka menimbulkan khabar angin yang boleh berjangkit menjadi sangkaan-sangkaan yang tidak berasas dan mengganggu keharmonian di pejabat.

Ada pula yang suka ‘bersidai’ di meja rakan dan bersembang dengan rancak. Perbuatan ini boleh mengganggu rakan di meja sebelah yang ingin melakukan kerja dengan tenang.

#5- Sering Beralasan

Waktu yang diperuntukkan untuk bekerja bagi setiap pekerja di sesebuah syarikat sama sahaja. Cuma kerja yang perlu diselesaikan mungkin berbeza-beza.

Sekalipun sesuatu yang perlu dilakukan itu susah, tidak ada salahnya jika mencuba dahulu dan melakukan strategi yang berbeza-beza untuk menyelesaikannya. Jika terlalu sukar, pertolongan boleh diminta daripada rakan yang tahu.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’du, 13:11)

Tindakan inilah yang membezakan antara orang yang mempunyai pemikiran berkembang dan ingin sentiasa belajar, berbanding dengan orang yang meletakkan alasan dan halangan di hadapan. Cuba fikirkan, anda orang yang bagaimana?

#6- Kemarahan Yang Tidak Bertempat

Dalam menyiapkan kerja, tidak dinafikan pasti ada sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan. Kerja yang tidak lancar, tindakan yang lambat daripada rakan sekerja, arahan yang tidak jelas dan pelbagai lagi.

Justeru, ada marah yang diperlukan untuk membantu kelancaran kerja serta kesalahan tidak diulang. Tetapi ada juga kemarahan yang dihamburkan yang tidak setimpal dengan kesilapan yang dilakukan. Lebih teruk lagi, jika kemarahan tentang kerja sudah dicampur adukkan dengan serangan kepada personaliti seseorang.

Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. [Riwayat al-Bukhari (6114)]

#7- Mengumpat

Tindakan mengumpat kerap berlaku apabila ada perkara yang mengundang rasa tidak puas hati. Kadang-kadang ia tidak berkait langsung dengan orang yang mengumpat.

Jika ia menjadi tabiat, apa sahaja boleh menjadi modal untuk diumpat – pakaian rakan, personaliti, rakan yang pendiam, bos yang tegas dan sebagainya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…” (Surah Al-Hujurat, 49:12)

Mengumpat tidak dapat menyelesaikan apa-apa berkaitan kerja, bahkan tindakan itu mengundang dosa yang besar. Tanyalah pada diri, adakah tindakan mengumpat ini hanya memuasan nafsu sahaja atau jalan penyelesaian yang cuba dicari.

Kesimpulan

Tidak ada apa yang akan berubah jika tidak ada yang diubah. Untuk mewujudkan budaya yang sihat dan berkat di tempat kerja, perubahan perlu dilakukan oleh setiap pihak. Kita sudah menghabiskan banyak masa dalam sehari di tempat kerja, justeru jadikanlah tempat kerja suatu tempat yang bermakna.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami