Oleh Natirah Azira • 10 Aug 2022 • 3 min baca
Setiap ayat yang terbit dari kalam Allah yakni kitab suci Al-Quran mempunyai nilai yang tinggi. Bagi setiap ayat yang dibaca – satu huruf akan diganjarkan 10 kebaikan. Bayangkan betapa banyaknya balasan kebaikan yang disediakan.
Ada pula anjuran untuk membaca ayat dan surah tertentu pada waktu yang lebih khusus seperti Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Surah Al-Mulk dan sebahagian ayat dari Surah Al-Baqarah pula pada malam hari.
Pesan para ustaz, sekurang-kurangnya bacalah satu muka surat dari Al-Quran setiap hari.
Tak sempat?
Rasa berat?
Ada cara lain yang lebih mudah. Anda boleh baca sekurang-kurangnya dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah pada setiap malam.
Daripada Abu Huraira R.A bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya : “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” [Riwayat Al-Bukhari (5009)]
Berikut adalah dua ayat tersebut.
Maksudnya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
Rasulullah SAW berkata orang yang membaca dua ayat ini pada malam hari maka sudah cukup. Apa maksud cukup di sini?
Imam Nawawi menyebutkan, menurut sebahagian ulama, maksud memberi kecukupan di sini adalah sudah cukup ianya menggantikan solat malam. Ada ulama lain menyatakan makna cukup adalah dijauhkan daripada gangguan syaitan dan segala macam penyakit. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6:83-84)
Prof Dr Musthafa Al-Bugha, seorang faqih Mazhab Syafie dan ulama hadis di Syria dalam Kitab Nuzhah Al-Muttaqin (hal. 400-401) pula menyebutkan bahawa ada juga ulama yang menyatakan maksud cukup adalah pengganti kepada pelbagai zikir kerana dalam ayat surah Al-Baqarah ini sudah ada doa untuk meminta kebaikan di dunia dan akhirat.
Betapa pelbagai cara telah dibentangkan di hadapan kita untuk beramal dengan Al-Quran. Sekalipun hidup seharian sudah dihurung kesibukan, ambil lah peluang ini untuk mengisi malam hari dengan amalan ibadah yang mudah.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2015). Keutamaan Membaca Dua Ayat Terakhir Surat Al Baqarah Pada Waktu Malam. rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.