Site icon Tazkirah

Benarkah Malaikat Mampu Mengira Seluruh Titisan Hujan Dari Zaman Nabi Adam

Banyak hadis yang dikongsikan daripada semasa ke semasa dalam lapangan media sosial seperti Twitter, Telegram dan Whatsapp. Persembahannya pula dalam bentuk yang pelbagai seperti info grafik dan juga video. Ia memudahkan kita merujuk dengan cepat untuk kefahaman dan amalan.

Tetapi, dalam usaha kita mempelajari hadis-hadis, perlu dipastikan sumber dan juga kesahihannya. Terdapat satu hadis yang berbunyi:

Diriwayatkan (Al-Mustadrah Syeikh An-Nuri, jilid 5:355, hadis ke 72) bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Disaat aku tiba dilangit di malam Isra’ Miraj aku melihat satu malaikat memiliki 1000 tangan, di setiap tangan ada 1000 jari. Aku melihatnya menghitung jarinya satu persatu.

Aku bertanya kepada Jibril AS, pendampingku, ‘Siapa gerangan malaikat itu, dan apa tugasnya?.’ Jibril berkata, Sesungguhnya dia adalah malaikat yang diberi tugas untuk menghitung titisan air hujan yang turun dari langit ke bumi.

’Rasulullah SAW bertanya kepada malaikat tadi “Apakah kamu tahu berapa bilangan titisan air hujan yang turun dari langit ke bumi sejak diciptakan Adam AS?.

Malaikat itupun berkata, ‘Wahai Rasulullah SAW, demi yang telah mengutusmu dengan hak (kebenaran), sesungguhnya aku mengetahui semua jumlah titisan air hujan yang turun dari langit ke bumi dari mulai diciptakan Adam AS sampai sekarang ini, begitu pula aku mengetahui jumlah titisan yang turun ke laut, ke darat, ke hutan rimba, ke gunung-gunung, ke lembah-lembah, ke sungai-sungai, ke sawah-sawah dan ke tempat yang tidak diketahui manusia”

Mendengar huraian malaikat tadi, Rasulullah SAW sangat takjub dan bangga atas kecerdasannya dalam menghitung titisan air hujan. Kemudian malaikat tadi berkata kepada baginda,

“Wahai Rasulullah SAW, walaupun aku memiliki 1,000 tangan dan sejuta jari dan diberikan kepandaian dan keulungan untuk menghitung titisan air hujan yang turun dari langit ke bumi, tapi aku memiliki kekurangan dan kelemahan.”

Rasulullah SAW pun bertanya, “Apa kekurangan dan kelemahan kamu?

Malaikat itupun menjawab, ‘Kekurangan dan kelemahanku, wahai Rasulullah, jika umatmu berkumpul di satu tempat, mereka menyebut namamu lalu berselawat atasmu, pada saat itu aku tidak mampu menghitung berapa banyaknya pahala yang diberikan Allah kepada mereka atas selawat yang mereka ucapkan atas dirimu.”

Menurut penerangan yang diberikan oleh Dr Khafidz Soroni, ilmuwan ulung dalam bidang hadis, bahawa ‘hadis’ di atas dirujuk kepada Kitab Mustadrak Al-Wasa’il oleh Syaikh Husain an-Nuri, yang merupakan tokoh Syiah Imamiyyah.

Dia juga tidak menyatakan dengan jelas sanadnya, tetapi hanya diambil daripada Kitab Tafsir Abu al-Futuh ar-Razi, ahli tafsir Syiah. Seperti diketahui, riwayat-riwayat Syiah Imamiyyah banyak yang palsu dan perlu dijauhi.

Exit mobile version