Inspirasi

Berdoalah Diberi Kecukupan Rezeki Dan Terjaga Dari Yang Haram

Oleh Natirah Azira  •  8 Aug 2022  •  3 min baca

Ketidakstabilan ekonomi sekarang banyak memberi kesan kepada kelangsungan hidup masyarakat. Tidak cukup dengan ramai yang kehilangan kerja dalam tempoh PKP yang lalu, cabaran lain melanda apabila keperluan makanan ruji semakin naik harga.

Ramai yang berusaha mencari pendapatan baru bagi menyara hidup sehari-hari. Ada yang menceburkan diri dalam perniagaan atas talian, ada yang membuat kandungan-kandungan media sosial dalam bentuk rakaman video dan bermacam cara lagi.

Pada saat usaha sudah sepenuhnya diberikan dan kepenatan jadi teman setiap hari, Allah mengingatkan supaya kita tidak sesekali lupa berdoa kepadanya.

Istimewanya doa yang ingin dibawakan kali ini kerana mesej yang terkandung di dalamnya memang berisi permohonan agar diberi kecukupan rezeki dan kesenangan.

Seolah-olah Allah tahu bahawa ujian dalam bentuk kesempitan hidup adalah ujian yang akan sentiasa ada, tidak kira kerana faktor ekonomi luaran atau dari kelemahan diri yang kurang mahir dalam pengurusan. Berikut adalah doa tersebut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – عَنِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dari Nabi SAW beliau biasa berdoa:

(Allaahumma innii as-alukal hudaa wat tuqaa wal ‘afaafa wal ghinaa)

Maksud: Ya Allah, aku memohon kepadaMu petunjuk, ketaqwaan, keterjagaan, dan kekayaan.

(HR. Muslim no. 2721, At Tirmidzi no. 3489, Ibnu Majah no. 3105, Ibnu Hibban no. 900 dan yang lainnya)

Dalam doa ini, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk memohon empat perkara:

1. Al-Hudaa (Petunjuk)

2. At-Tuqaa (Ketakwaan)

3. Al-‘Afaaf (Penjagaan)

4. Al-Ghina (Kekayaan)

Syeikh Mulla Ali al-Qari, seorang pakar hadis yang terkenal ada menerangkan dengan lebih jelas maksud di sebalik empat perkataan ini.

Maksud Al-Hudaa adalah hidayah atau petunjuk yang sempurna.

At Tuqaa pula ketaqwaan yang menyeluruh.

Al-‘Afaaf bererti kecukupan rezeki. Sebahagian ulama mengatakan maksudnya terjaga diri daripada yang haram.

Dan akhir sekali, Al-Ghinaa bermaksud kekayaan hati, iaitu merasa cukup dari apa yang ada pada manusia.

(Boleh rujuk Mirqatul Mafatih, 5/1721).

Keempat-empat perkara ini sangat berkait rapat antara satu sama lain.

Pada masa kini, harta dan kemasyhuran sangat dikejar-kejar oleh ramai orang. Lihat sahaja bagaimana masing-masing berlumba menonjolkan diri di media sosial seperti Tiktok untuk dikenali. Lalu, apabila melihat orang lain lebih terkenal dan lebih kaya, ada rasa yang terbit – mahu seperti dia.

Tidak dinafikan dalam masa sama ada yang menggunakan platform ini untuk mencari sumber kewangan. Tidak ada salah jika digunakan sebetulnya. Tetapi, ujian ini jika tidak mampu diharungi, akan memberi kesan kepada rasa takwa sehingga kita tidak lagi berhati-hati menyandarkan setiap tindakan pada panduan agama, lalu melakukan apa sahaja demi mencapai kesenangan dunia.

Justeru, doa perlindungan ini yang kita perlukan dalam meniti hari-hari di akhir zaman. Kita memohon petunjuk, rasa takwa, dijauhkan diri daripada hal-hal yang dilarang oleh agama, dan diberi kecukupan dalam rezeki.

Kita tidak mahu iman dan takwa tergadai kerana nikmat dunia yang kita inginkan, yang tidak kekal bahkan akan luput satu hari nanti. Semoga Allah memberikan kita kelapangan dalam rezeki serta rasa kecukupan di hati.

Rujukan:
Yuliana Purnama. (2015). Doa Meminta Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan. muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami