“Semoga peroleh sakinah, mawaddah dan rahmah dalam perkahwinan”
“Semoga bahagia hingga ke jannah”
Bagi anda yang sudah lama berkahwin, masihkah anda ingat ucapan seumpama ini diucapkan oleh sanak-saudara dan sahabat handai? Bagi yang baru sahaja berkahwin pula, pasti ucapan ini masih segar diingatan.
Tetapi, tidak cukup sekadar doa dari orang, adakah doa ini kita terjemahkan ke dalam perbuatan?
Berdasarkan kes yang diterima sepanjang saya menjalankan sesi kaunseling rumah tangga, banyak isu ialah berkaitan komunikasi yang tidak lancar antara pasangan – perbincangan yang tidak bersambut, perasaan yang tidak diluah, memendam, berdiam diri dan juga bersikap defensif.
Apa pun sebabnya, saranan Islam dalam menjaga rumah tangga bukan tentang nafkah zahir dan batin sahaja tetapi perlu diperhalusi lebih dalam. Kadang-kadang, kerana komunikasi yang tidak lancar, cinta mula pudar sekalipun wang ringgit masih diterima dan makan masih tersedia.
“Saya rasa tak ada ‘connection‘ !”
Dan perihal tidak ada ‘connection ‘ atau ikatan yang merapatkan ini tidak dibincangkan dan dicari penyelesaian.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Siti Marziah, Abdul Rahman dan Salina Nen berkaitan hubungan perkahwinan, mereka menjelaskan bahawa komunikasi efektif bermaksud mesej dapat disampaikan dan direspon sewajarnya oleh pasangan.
Komunikasi positif pula mempunyai kata-kata pujian, penghargaan, kasih sayang dan minat yang tinggi terhadap pasangan. Nilai-nilai yang diguna pakai ini dapat menjadikan hubungan suami isteri lebih kukuh, akrab dan sihat.
Walau bagaimanapun, dalam satu kajian kualitatif oleh Hariyati Ariffin berkaitan strategi pujuk rayu dalam perkahwinan, beliau mendapati ungkapan mesra dan pujuk rayu tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan perkahwinan respondan yang terdiri dalam kalangan lelaki Melayu.
Secara mudahnya, respondan tidak nampak kepentingan meluahkan kasih-sayang melalui kata-kata. Mereka juga berpendapat bahawa amalan memberi hadiah adalah suatu pembaziran dan tidak bagus diamalkan kerana bimbang isteri akan sentiasa mengharapkan hadiah sebagai luahan kasih sayang.
Sekalipun kajian ini bukan berskala besar dan tidak dapat disamakan dengan kelompok lelaki lain di negara ini, saya pasti kes-kes terpencil begini ada.
Apa pun pendirian yang dipegang, rujuk semula adakah apa yang kita pegang berlandaskan Islam atau sebaliknya. Apa amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dalam menunjukkan penghargaan dan ihsan terhadap isteri-isterinya.
Taraf suami sebagai pemimpin dan ketua keluarga sememangnya diiktiraf dalam Islam. Isteri perlu patuh kepada arahan dan pesanan suami selagi ia tidak berlanggar dengan syariat.
Tetapi, hal ini tidak bermakna suara isteri tidak perlu didengari, begitu juga sebaliknya. Bukankah dalam hubungan rumahtangga juga perlu ada musyawwarah (perbincangan) agar sudut padat seimbang dan matang boleh diambil dalam perjalanan mengemudi bahtera rumahtangga bersama.
Tabiat tidak mendengar pendapat pasangan dan hanya ingin menangkan pendapat sendiri langsung tidak menunjukkan kuasa dominan dan kewibawaan dalam rumahtangga, bahkan menunjukkan kelemahan komunikasi.
Masalah dalam rumahtangga juga banyak diburukkan oleh sangka-sangka yang tercipta. Suami sebut A, yang difaham isteri adalah B. Isteri menyebut C, yang difaham suami adalah D.
Sudahnya, komunikasi jadi berselirat dan tidak capai titik persefahaman. Masing-masing dengan pendirian masing-masing.
Apa kata tarik nafas, dan bertanya semula diri – bagaimana cara yang boleh dibuat untuk memahami dan difahami pasangan?
Adakah nada suara perlu diturunkan, adakah perkataan lebih sesuai perlu diguna, adakah masa perlu dipilih dengan elok dan lain-lain pertimbangan lagi. Selagi tidak ada apa yang diubah, maka tidak ada apa yang akan berubah, bukan?
Sekalipun hubungan percintaan telah lama terjalin sebelum mengikat tali perkahwinan yang sah, ia tidak bermakna kita sudah faham sepenuhnya pasangan.
Sama juga, sekalipun rumah tangga telah mencapai tahap asam garam hidup yang pelbagai, pasangan perlu terus dikenali dan difahami kerana sikap, cara fikir dan emosi seorang manusia akan terus berubah seiring pertambahan usia. Mudah-mudahan dengan kita membuka ruang untuk sentiasa mengenali dan memahami pasangan, kehidupan berumahtangga akan sentiasa dalam sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang).
Rujukan:
1. Hariyati Ariffin. (2013). Strategi pujuk rayu dalam perkahwinan: Tanggapan dan pengalaman lelaki Melayu dalam konteks komunikasi interpersonal. Prosiding Seminar Penyelidikan Pemikiran & Kepimpinan Melayu 2013.
2. Siti Marziah, Abdul Rahman & Salina Nen. (2019). Kualiti perkahwinan pada fasa pertama perkahwinan (1-10 tahun): Pengaruh gaya komunikasi dan penyesuaian hidup. Journal of Social Sciences & Humanities.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.