Oleh Saifuddin Hamizan • 12 Oct 2021 • 7 min baca
Apabila bercakap tentang topik perceraian pasti ada yang dalam kalangan kita akan menarik hela nafas yang panjang kerana gusar, keliru dan resah mendengarnya. Siapa sahaja yang mahukan perkahwinan yang mereka dirikan itu hancur berkecai? Tiada siapa yang mahu jika kita tanya kepada sesiapa sahaja di atas muka bumi ini.
Namun acapkali berita-berita mengenai polemik kisah rumah tangga ini berlegar di setiap halaman maya sama ada akhbar digital mahupun media arus perdana.
Seharusnya perkahwinan itu didirikan pada binaan cinta yang menanamkan kasih sayang dan ketenangan (mawaddah dan rahmah). Begitulah yang diungkapkan oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asirah Jilid 1 di salah sebuah rencana berkaitan aduan seorang Wanita yang berkahwin dengan suaminya yang kurang mesra.
Komentar al-Qaradhawi itu berasaskan kepada Firman Allah SWT ini :
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum : 21)
Mengikut statistik perceraian pada tahun 2020, seperti yang dilaporkan oleh Ketua Perangkawan iaitu Dato’ Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyimpulkan data yang terkumpul menunjukkan bahawa pendaftaran perkahwinan tahunan semakin merosot, manakal kes perceraian semakin meningkat.
Sebanyak unjuran 1.2 peratus menurunnya perkahwinan baru, manakala terdapat 12 peratus meningkat kes perceraian jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebelum pandemik.
Laporan sebegini menggusarkan kita semua dan pihak berwajib serta anggota masyarakat yang lain juga perlulah cakna dan memberdayakan lagi usaha-usaha alternatif untuk membaik pulih segera kefahaman masyarakat mengenai peri pentingnya mengukuh dan mempertahankan institusi perkahwinan.
Punca perceraian pada setiap tahun sebelum pandemik Covid-19 mungkin agak sama sahaja, tidak lari dari tiga punca utama seperti kewangan, tiada persefahaman, dan campur tangan orang ketiga. Cuma bila datangnya wabak mengganas, ini lebih memberikan tekanan demi tekanan yang lain.
Bayangkan sahaja, golongan kelas ekonomi dari kelas M40 sudah menurun sebanyak 20 peratus keluarga bersamaan kira-kira 580,000 isi rumah yang sudah jatuh menjadi kelas B40 seperti yang dilaporkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri baru-baru ini di Parlimen.
Ini membuktikan punca utama yang telah disebutkan sebagai punca perceraian secara sinonim pada tahun-tahun sebelum ini telah benar-benar menggeser dan merisikokan lagi pasangan untuk berlaku perceraian. Bukannya mudah untuk keluarga yang sudah biasa hidup dengan gaya ekonomi pertengahan untuk ubah lebih rendah pada tahap bawah. Ini semua menguji mental dan fizikal sesiapa sahaja yang berdepan dengannya.
Ekonomi keluarga adalah asas kepada keperluan-keperluan lain terjaga seperti keperluan asasi makan, minum dan rumah, kemudian keperluan keselamatan seperti pekerjaan, pendapatan bulanan, dan polisi simpanan KWSP, Socso, serta caruman-caruman lain.
Ini semua memberikan kesejahteraan mental seisi keluarga untuk berdepan dengan masalah wabak berjangkit yang entah bila hendak selesai.
Namun apabila kesemua keperluan ini dicabar, di rombak malah di hapuskan sehingga kita terjatuh duduk. Itulah yang menyebabkan risiko untuk berlakunya pergeseran dan pertelingkahan antara suami isteri kian mencanak dan membara.
Saya teringat ketika saya hadir secara tele sidang dimana ada seorang doktor pakar psikiatri berkata – untuk hendak bercakap mengenai bagaimana menyelesaikan isu-isu sosial masyarakat secara mudah seperti “jagalah pemakanan, senaman, dan terapi minda untuk dapatkan gaya hidup yang sihat” tidaklah mudah. Kerana asasnya ialah jika realitinya seseorang itu gagal menyediakan makanan di atas meja, kesemua nasihat ini hanyalah sekadar nasihat yang kurang membantu.
Sebab hakikatnya semua ini perlukan bantuan-bantuan yang terus menerus sama ada di peringkat kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan seperti NGO kemasyarakatan awam.
Kita semua perlu berdaya mampan untuk terus membantu dengan bermacam kempen yang baik seperti bantuan makanan, bantuan sara hidup, bantuan mencari kerja, bantuan modal perniagaan kecil dan sebagainya.
Allah SWT telah berfirman :
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya” (al-Maidah : 2)
Sekiranya dos vaksin memerlukan “penggalak”, tentulah kursus pra-perkahwinan juga memerlukan “penggalaknya” tersendiri. Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Rina Harun berpendapat untuk mencadangkan di pihak kementerian supaya mewujudkan pelan kursus selepas perkahwinan bagi memperkukuh institusi perkahwinan dikala musim mencabar.
Antara bidang yang dititik beratkan iaitu soal ilmu keibubapaan (parenting skills), sebab kebanyakan masalah perceraian apabila berlakunya pergolakan, yang paling terkesannya ialah anak-anak yang masih kecil. Anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bergolak lebih sukar secara psikologinya untuk membangun dari aspek mental, psikologi, spiritual dan kesejahteraan lain hendak dibandingkan dengan anak-anak yang lain.
Ini kerana ketidak seimbangan emosi telah banyak mengganggu proses pembelajaran dan ketumbesaran si anak itu tadi secara sihat.
Selain itu, untuk pasangan yang belum berkahwin tetapi masih dalam proses berkenalan dengan seseorang, kita boleh akses ke sebuah halaman sesawang esyariah.gov.my bagi mengesan pasangan yang pernah ada melakukan jenayah sama ada pernah berkahwin sebelum ini tetapi menipu atau terlibat dalam jenayah rumah tangga sebelum ini dan sebagainya.
Alternatif sebegini dan yang lain juga wajar diwacanakan di serata tempat sama ada secara tele sidang atau forum-forum di Television. Ini adalah perkara serius yang melanda masyarakat yang sedang kritikal, lebih cepat lebih baik untuk disegerakan wacana sihat seperti ini.
Selain kita berharap kepada kaedah alternatif lain, kita juga perlu berusaha secara “fardhiyah” (individu) untuk mengukuhkan lagi binaan rumah tangga kita yang termetrai sejak awal.
Cuba kita berfikir sejenak, adakah wabak yang melanda dan mengesankan kita semua dari berbagai aspek ini akan mengakibatkan hidup kita hancur berkecai? Atau sebuah teguran dari Allah SWT agar kita semua susun semula keutamaan hidup ini sebagai apa.
Adakah selama ini kita hidup seperti Khinzir bak kata Buya Hamka? Iaitu kerja sekadar kerja, babi juga bekerja. Hidup kita lebih bermakna dari haiwan dan pokok. Kita diciptakan sebagai insan yang memiliki makna-makna.
Saya teringat semasa saya sertai sebuah forum webinar anjuran Iman Publication yang bertajuk The Courage Within You, salah seorang panelis Ustaz Hasrizal Abd Jamil ada menyebutkan bahawa insan itu makhluk yang Allah SWT cipta satu-satu dengan tujuan mengejar makna hidup, sebab itulah kita sebuah ada timbangan amal di akhirat (secara mafhum).
Berdasarkan firman Allah SWT ini :
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Mulk : 2)
Maka untuk merungkai makna hidup kita perlulah melalui proses ujian, tribulasi, mehnah dan segala istilah yang memaknakan satu hal iaitu UJIAN. Bila ada ujian dan kita berjaya menghadapinya dengan panduan daripada syarak dari situlah akan terbitnya hikmah (wisdom) dan dari situ kita lebih menjiwai hidup yang sedia ada.
Berbanding hidup yang kosong tiada apa-apa perkara atau dalam Bahasa falsafahnya “nihilistic” (hidup tiada tujuan) akan lebih derita di sudut mental, psikologikal, emosional dan spiritual. Sebab itulah kita perhatikan mengapa fasa-fasa umur pencen ramai orang tua berasa kesunyian dan kekosongan, kebanyakannya akan alami krisis ini. Bagi yang masa mudanya bekerja keras demi masyarakat, insyaallah waktu tuanya lebih bermakna.
Justeru, maknailah kehidupan kita yang kadangkala di atas dan kadangkala di bawah. Tujuan sebenar kita bukanlah di dunia yang sangat mengecewakan ini. Keadilan, kebahagiaan, keindahan hanyalah di syurga Allah SWT. Memetik untaian Imam Ahmad Ibn Hanbal, kata beliau waktu rehat yang sebenar apabila kaki memijak ke dalam syurga Allah SWT.
Rujukan :
1. Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatwa Kontemporari, Jilid 1 Siri 3, Pts Publication SDN BHD.
2. Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia
3. Golongan M40 Turun Ke B40
4. Semak Status Perkahwinan Rekod Jenayah Pasangan
5. KPWKM Cadang Wujud Kursus Pasca Perkahwinan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.