Inspirasi

Menjadi Seorang Yang Damai Jiwa

Oleh Suhana Amiril  •  29 Sep 2021  •  5 min baca

Dunia kini yang semakin canggih dan banyak persaingan, betapa mudah untuk seseorang memperkecilkan diri sendiri apabila melihat orang sekeliling kelihatan bahagia dengan kehidupan dan pekerjaan masing-masing.

Si fulan sudah berjaya dalam sekian dan sekian. Si fulanah mempunyai kehidupan yang sempurna tidak seperti kehidupan kita. Walhal, kita juga sebenarnya tidak merasa dan tidak tahu apakah yang dirasai di dalam jiwa mereka.

Dari An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ. أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

“Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rusak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati (jantung).” (HR. Bukhari & Muslim)

Segalanya bermula daripada hati.

Bahagia Dengan Kebahagiaan Orang Lain

Apa kaitan jiwa yang damai dengan kebahagiaan orang lain? Bukankah kebahagiaan orang lain itu adalah kebahagiaannya dan kegembiraannya. Bukannya kegembiraan kita. Apa pula kaitannya dengan kita serta kehidupan kita sebagai hamba kepada Tuan Punya Dunia?

Bukan mudah untuk mendidik jiwa menjadi lembut. Lembut untuk merasa bahagia menerima rezeki yang sedikit atau banyak, tenang apabila mendapat cubaan dan dugaan dalam hidup. Apa lagi untuk kita mendidik diri sendiri menjadi seseorang yang cuba berusaha bahagia dengan apa yang dimiliki dan bahagia apabila melihat kebahagiaan dan pencapaian orang lain.

Namun ramai diantara kita yang terlepas pandang atau tidak mengambil berat akan betapa penting dan besarnya pengaruh jiwa yang damai dalam kehidupan. Bukan sahaja kesannya hanya terhadap kehidupan kita, tetapi orang lain juga akan terkesan sama.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda, “Tidaklah (sempurna) iman seseorang diantara kalian hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (HR. al-Bukhari dan Muslim).

Mencintai sesama muslim, saudara atau sahabat dan apa-apa sahaja dalam kehidupan mereka yang turut kita rasai, seharusnya adalah bagaimana ikatan persaudaraan kita atas dasar akidah yang sama sesama Muslim. Bukan sahaja dalam hal-hal bahagia, begitu juga sebaliknya. Bukankah ada hadis daripada Rasulullah sallallahu ‘alahi wasallam,

“Janganlah kalian saling mendengki, saling menipu, saling memarahi dan saling membenci. Muslim yang satu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Oleh itu, dia tidak boleh menganiaya, membiarkan, dan menghinanya. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya tiga kali). Seseorang itu cukup dianggap jahat apabila ia menghina saudaranya sesama Muslim. Setiap Muslim yang satu terhadap Muslim yang lain itu haram mengganggu darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” (HR Muslim)

Saya teringat perbualan saya dan adik saya, bilamana dia tiba-tiba berkata, “Orang yang sederhana dan sentiasa merasa syukur dengan apa yang dia ada. Pastu tidak dengki pada orang lain. Pastu happy ja bila orang lain dapat apa-apa, mesti hidupnya lebih tenang dan senang. Sebab dia tak payah fikir banyak, kan?”

“Ya. Sebab nyaman ja jiwa, damai ja. Sebab tiada sifat dengki dalam dirinya.” Jawab saya.

Pada saya, seseorang yang memiliki jiwa yang sentiasa bersangka baik dan gembira dengan pencapaian serta kebahagiaan orang sekelilingnya, adalah seseorang yang benar-benar kaya.

Orang yang begini, walau kehidupannya sangat sederhana tapi pasti kehidupannya damai dan sentiasa cukup dari segi keperluan hidupnya. Orang yang berlapang dada sedemikian, pastilah Allah ‘Azza Wa Jalla sentiasa bantu dan tidak akan dibiarkan oleh-Nya.

Ringankan Jiwa Untuk Berkongsi

Semalam seorang sahabat jemput untuk datang ke rumahnya berbuka puasa. Seperti biasa, apabila sudah bertandang ke rumahnya maka orang yang kami paling banyak sembang adalah ibunya. Banyak topik berkaitan aktiviti hobi, kehidupan dan tumbuh-tumbuhan. Namun ada satu hal yang saya sangat terkesan apabila beliau berkata,

”Kita jangan berkira dalam hidup ini. Kalau kita sudah mahu bagi, jangan fikir nanti kita punya yang berkurangan. Apa yang keluar dari rumah kita, lupakan. Jangan diungkit lagi. Mesti Allah akan bagi yang lebih. Dan selalunya begitu yang terjadi.”

Masya-Allah tabaarakallah! Mendengar itu, saya terkesima seketika. Sangat benar apa yang dikatakan oleh beliau. Tidak mudah untuk mempunyai jiwa seperti itu. Yang ikhlas dan melupakan apa yang telah dikongsikan. Kita ini, sangat tahu mengenai apabila kita sedekahkan atau memberikan sesuatu kerana Allah ’Azza wa Jalla, maka Dia akan memulangkannya kepada kita dengan lipat kali gandakan pemberian kita tersebut. Namun tidak selalunya kita dapat lakukan, bukan? Begitu juga diri saya sendiri.

Walhal Allah Ta’ala berfirman,

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan tatkala Rabbmu berkata: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim: Ayat 7)

Kesimpulan

Hidup ini, memang jika kita ingin melakukan suatu perbuatan atau ingin mengubah amalan kehidupan harian kepada suatu yang lebih baik, adalah tidak mudah. Kerana ia adalah sebuah perjuangan. Perjuangan kita dengan diri sendiri. Perjuangan kita kerana Dia.

Oleh itu, demikian juga untuk memiliki jiwa yang damai. Ia tidak diperolehi sehari dua. Sebaliknya, untuk jiwa begitu, memerlukan latihan. Memerlukan perbuatan berulang-ulang kali. Latihan yang melibatkan soal keikhlasan dan bagaimana kita menjaga hubungan kita dengan Tuan Punya Dunia.

Kerana akarnya, jiwa yang damai adalah soal diantara diri kita dengan Dia.

Kawan, semoga kita dapat mendidik dan memperolehi jiwa yang menjadikan perbuatan berkongsi rezeki itu sebagai tabiat kebiasaan dalam kehidupan. Semoga anak cucu cicit dan keturunan kita menjadi orang-orang yang besar, kaya dan damai jiwanya!

Semoga Allah merahmati.

(Disediakan oleh Suhana Amiril pada 24 April 2021)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Suhana Amiril

Merupakan graduan Syariah dan Undang-Undang. Mempunyai azam dan kesungguhan yang mendalam dalam bidang penulisan untuk mengunci dan menarik jiwa-jiwa manusia untuk sama-sama kembali kepada Yang Esa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami