Cinta yang murni dan tulus pasti akan mempunyai tanda-tandanya tersendiri. Tanda-tanda inilah merupakan bukti kepada kasih sayang seseorang manusia terhadap orang yang dikasihinya sama ada cinta suami kepada isteri, cinta ibu kepada anaknya mahupun cinta anak-anak kepada orang tuanya.
Setiap tanda yang ditunjukkan juga berbeza dalam usaha insan itu mengungkapkan perasaan cintanya. Ia boleh datang dalam bentuk ucapan, sentuhan atau tindakan.
Bagi pasangan yang mempunyai cahaya mata, pastinya mereka ingin memberi didikan yang terbaik kepada mereka. Didikan ini juga termasuk dalam bahasa cinta.
Tiada ibu bapa yang ingin mengabaikan anak-anak mereka. Justeru, pendidikan serta kasih sayang akan diberi keutamaan agar mereka mampu membesar menjadi manusia yang hebat suatu masa kelak.
Si kecil yang membesar dengan penuh kasih sayang cenderung untuk memiliki kepercayaan diri, kecerdasan, kesihatan dan juga rasa bahagia yang tinggi.
Jadi, bagaimana untuk ibu bapa menunjukkan bahasa cinta dalam usaha mendidik anak-anak mereka?
#1 – Ajar anak-anak mencintai Allah SWT
Cinta kepada Allah adalah perkara asas dalam didikan anak-anak. Ajar mereka mengenai ibadah dan perkara asas agama agar anak-anak boleh tumbuh menjadi anak yang soleh dan solehah.
Dengan mencintai Allah, maka keimanannya akan sentiasa bertambah dan boleh membantu menjauhi dirinya daripada perkara yang mungkar.
Ibnu Qayyim RA berkata – “Dasar cinta terpuji yang Allah perintahkan dan Allah menciptakan makhluk kerananya adalah mencintai Allah semata-mata dan tiada sekutu terhadapnya. Cinta kepada Allah mengandungi peribadahan kepadaNya kerana sesungguhnya ibadah mengandungi puncak cinta tertinggi diiringi dengan puncak kerendahan diri.” (Ighaatsatul Lahfan, hlm. 457-458)
Dengan mengajar anak-anak mencintai Allah, anda sebenarnya sedang mengajar mereka untuk melakukan perkara yang baik. Hal ini kerana, apabila kita mencintai Allah, kita akan cenderung melakukan perkara yang Allah cintai.
Di sinilah kita mengajar mereka untuk menggapai reda Allah. Apabila mereka taat kepada Allah, maka mereka sedang belajar untuk mentaati orang tuanya.
#2 – Berkata perkara yang baik-baik
Orang tua seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik-baik di hadapan anak-anak mereka dengan mengeluarkan kata-kata yang baik-baik.
Apa yang didengari dan apa yang dilihat oleh anak-anak, itulah yang akan terserap melalui otak mereka. Walhal, pastinya ibu bapa menginginkan anak-anak mereka untuk membesar dengan menjadi contoh teladan yang baik.
Apabila anak-anak melakukan kebaikan dan berjaya meraih sesuatu, pujilah mereka dengan pujian penghargaan. Namun, apabila mereka melakukan kesalahan atau gagal dalam sesuatu perkara, tegurlah mereka dengan teguran yang membina.
Maksud: “Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Kalian tidak akan beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan pada kalian apa amalan yang jika kalian lakukannya, kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR Muslim, no. 54)
Berikan kepada mereka kata-kata yang menunjukkan kasih-sayang, pujian, dorongan serta bimbingan positif yang akan membantu memberikan rasa kebahagiaan dalam diri mereka.
#3 – Sentuhan cinta
Bukan kata-kata sahaja yang penting, tetapi juga melalui sentuhan. Anak-anak memerlukan sentuhan kasih sayang daripada orang tua mereka.
Tanpa pelukan atau ciuman daripada orang tua, mereka akan rasa satu kekurangan dalam hidup mereka. Apatah lagi jika mereka melihat rakan-rakan mereka menerimanya, namun mengapa tidak diri mereka.
Maksud: “Aku menunaikan solat Zuhur bersama dengan Rasulullah SAW, kemudian Baginda keluar menuju ke rumah isteri Baginda dan aku pun ikut keluar bersamanya. Kemudian, muncullah anak-anak Baginda dan Baginda mula mengusap kedua pipi salah seorang dari mereka satu persatu.” (HR Muslim, no. 2329)
#4 – Meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak
Waktu yang dihabiskan oleh ibu bapa bersama dengan anak-anaknya merupakan waktu yang amat berharga.
Bagi anak-anak, waktu inilah membuktikan bahawa ibu bapa telah memberi sepenuhnya kasih sayang dan perhatian buat mereka.
Ada sebuah riwayat dari Mahmud bin Ar-Rabi’ berkata:
Maksud: “Aku teringat semburan air dari mulut Nabi SAW yang Baginda semburkan pada wajahku. Air itu diambil dari timba sedangkan ketika itu aku (masih) seorang anak berumur lima tahun.” (HR Bukhari, no. 77)
#5 – Memberi hadiah kepada anak-anak
Siapa sahaja yang tidak sukakan hadiah? Terutamanya apabila ia datang daripada orang yang dicintai.
Oleh itu, sekali sekala ibu bapa boleh memberikan hadiah kepada anak-anak sebagai bukti kasih sayang atau hadiah itu juga boleh datang sebagai bentuk penghargaan ke atas kejayaan yang dimiliki.
Menjadi ibu bapa bukan secara kebetulan, tetapi ia perlu dilakukan secara betul-betul kerana anda sedang menggalas amanah yang dikurniakan Allah.
Anak-anak adalah pewaris di masa hadapan dan untuk menjadikan mereka generasi yang hebat, ia sebenarnya bermula dari orang tua itu sendiri.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.