Ada sebuah syair Arab yang menyebut – “Bukanlah anak yatim yang kedua orang tuanya telah tiada, iaitu telah tiada dari kehidupan dunia lalu meninggalkan anak tersebut dalam keadaan hina, namun anak yatim adalah anak yang telah engkau peroleh tetapi tidak dipedulikan oleh ibu atau ayahnya yang terlalu sibuk.” (Syair Ahmad Syauqi)
Kita sering dengar mengenai istilah anak yatim, iaitu yang telah kematian orang tuanya. Namun, kali ini apa kata kita renungi maksud ‘yatim piatu’ di sebalik syair Arab yang telah dinukilkan di atas.
Anak-anak merupakan anugerah yang tidak terhingga. Dalam Bahasa Melayu, ia disebut sebagai cahaya mata kerana kehadiran mereka sebagai cahaya yang boleh menyinari keluarga yang dibina.
Namun, sejauh mana anda memberi perhatian dan kasih sayang kepada cahaya mata anda? Atau adakah anda mengabaikan mereka dek terlalu banyak tugas dan pekerjaan yang perlu diselesaikan?
Sedangkan anak-anak merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dijaga dengan baik. Bukan sahaja perlu dibela dan diperhatikan, namun perlu dididik dengan ilmu agama dan kasih sayang yang cukup agar mereka mampu membesar menjadi manusia yang bermanfaat dan menjadi khalifah di muka bumi ini.
Tidak dinafikan, nafkah kepada mereka perlu dilaksanakan kerana itulah sumber untuk membesarkan mereka. Jika tiada wang atau rezeki yang cukup, bagaimana untuk menghantar mereka ke sekolah, membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka serta menyediakan tempat tinggal yang selesa.
Namun, dalam usaha anda untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, perkara akar dalam kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga jangan pula diabaikan.
Bimbang jika mereka akan membesar dengan menagih kasih sayang atau mencari perhatian dari kumpulan yang tidak sepatutnya.
Sebagaimana Ibnu Qayyim Al-Jauzi berkata – “Kebanyakan kerosakan yang berlaku kepada anak adalah disebabkan oleh orang tua mereka. Mereka mengabaikannya dan tidak mengajarkan anak-anak mereka dengan ilmu asas agama dan sunnah. Mereka juga menyia-nyiakan anak-anak ini pada waktu kecil mereka.” (Tuhfatul Maulud, hal. 387)
Justeru, jagalah ahli keluarga anda dan jangan biarkan anak-anak anda merasakan diri mereka sebagai yatim piatu yang diabaikan.
Wallahu a’alam
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.