Bukan mudah untuk menjadi seorang pelajar kerana tugas menuntut ilmu itu sangat memenatkan. Ditambah pula apabila timbulnya cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh seperti jarak ke sekolah yang penuh dengan liku atau masalah kewangan.
Tapi sekarang, bukan ujian itu yang kita lihat kerana seiring dengan kemodenan teknologi, ujian yang digalas juga pasti lebih ‘moden’ ditambah dengan permasalahan awal yang dinyatakan tadi, belum selesai.
Di musim pandemik ini, kita melihat cabaran utama yang dilalui adalah masalah peranti dan juga bekalan internet kerap kali membelenggu anak-anak pelajar ini bahkan orang tua mereka juga.
Bayangkan jika anak-anak pelajar ini yang datangnya dari keluarga yang kurang berkemampuan, bagaimana agaknya cara mereka menghadapi masalah ini.
Walau apa pun cabaran yang dilalui, anda adalah generasi yang kuat dan dilahirkan untuk boleh mengharungi dugaan ini.
Bagaimana untuk terus menjadi pelajar yang sentiasa bermotivasi? Ini adalah beberapa nasihat dan tips yang ingin dikongsikan:
#1 – Terus berdamping dengan guru anda kerana mereka adalah pintu kepada ilmu yang sentiasa terbentang luas
#2 – Walaupun belajar secara alam maya, adab-adab berguru dan rakan sekelas anda tetap perlu dijaga
#3 – Guru juga manusia. Mereka pasti faham jika anda punya masalah. Oleh itu, beritahu apa yang anda alami dan jangan biarkan guru anda dibelenggu ‘misteri’
#4 – Siapkan tugasan yang diberikan kerana ia salah satu bukti anda menghormati guru anda
#5 – Masing-masing sedang cuba menyesuaikan diri dengan normal baharu. Jadi, jika ada ketidakpuasan hati atau masalah dengan sesi pengajaran, terus maklumkan kepada guru anda
#6 – Sekali-sekala, periksa rakan-rakan anda. Tunjukkan perhatian agar masing-masing boleh saling memberi semangat untuk teruskan perjuangan
#7 – Ingat tujuan anda menuntut ilmu adalah kerana ilmu dan Allah. Jangan disia-siakan peluang untuk belajar itu
#8 – Teruskan ulang kaji agar mudah untuk anda bertanya jika tidak faham
#9 – Walaupun tiada peperiksaan atau ujian, namun pelajaran tetap diteruskan kerana ia yang akan menjadi bekal buat anda suatu hari kelak
#10 – Untuk mengecapi sesuatu, anda perlu berjuang. Dan perjuangan anda adalah dengan perlu mengharungi ujian pandemik ini
#11 – Jika anda merasakan anda sedang mengalami kesusahan, ingatlah bahawa ada yang lagi susah dari anda
#12 – Jika penat, ambil masa untuk berehat. Jangan berhenti dan putus asa.
#13 – Ingatlah bahawa anda mempunyai Allah yang sentiasa ada sebagai tempat untuk anda mengadu atau meminta
Perjuangan itu memang pahit sepahit kopi, namun kepahitan itulah yang boleh memberikan kita peluang untuk menelan sebuah pengalaman yang berharga buat dijadikan bekalan di masa hadapan.
Kadang-kadang, kita lebih mengingat akan rasa pahit berbanding manis terutamanya jika ia meninggalkan parut.
Justeru, buat anak-anak pelajar sekalian, setiap langkah kecil yang anda lakukan pasti akan menunjukkan hasil suatu masa kelak. Oleh itu, teruskan melangkah.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.