Istilah qailulah tidak asing lagi dalam kalangan kita. Atau, mungkin juga perbuatannya yang pernah diamalkan, menjadikan kita sebenarnya sudah lama terbiasa dengannya.
Qailulah ialah tidur sejenak di siang hari. Ia adalah sebuah perbuatan berehat sebentar. Bahkan, tidak semestinya tidur menjadikan anda sedang qailulah, namun mengambil masa untuk rehat sejenak juga adalah termasuk dalam qailulah.
Ia adalah salah satu sunnah yang pernah diamalkan oleh Nabi SAW dan juga para sahabat kerana manfaatnya sangat hebat kepada tubuh badan, iaitu boleh membantu memberi kesegaran semula sekali gus menjadikannya sebagai masa untuk mengecas tenaga sejenak.
Imam As-Syirbini menyebut – “Tidur qailulah itu besar manfaatnya. Ia diibaratkan seperti orang yang bersahur untuk berpuasa.” (Al-Maqsu’ah al-Fikqhiyah, 34:130)
Ertinya di sini ialah ia, rehat sejenak boleh membantu menguatkan diri untuk melakukan ibadah serta aktiviti seharian sebelum benar-benar berehat di malam hari.
Namun, bilakah waktu yang sesuai untuk qailulah? Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat. Ada beberapa pandangan yang dibawakan, iaitu:
#1 – Sebelum Masuk Waktu Zohor
Imam al-Khatib Al-Syarbini, Al-Munawi, A-Bujairimi dan Imam Nawawi menyebut bahawa waktu yang sesuai untuk qailulah adalah sebelum gelincirinya matahari, iaitu sebelum masuknya waktu Zohor.
Al-Bujairimi berkata bahawa ia adalah waktu untuk berehat sebelum gelincir matahari walaupun tidak tidur.
#2 – Selepas Zohor
Manakala, beberapa pendapat menyebut bahawa waktunya dibolehkan sebelum dan selepas Zohor. Hal ini tiada masalah selagi tidak mengganggu pekerjaan lain.
Hal ini adalah sebagaimana kenyataan yang telah diberikan oleh Sahl, iaitu:
Maksud: “Tidak kami berehat dan makan kecuali selepas solat Jumaat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 839)
Kesimpulan
Namun, waktu yang sesuai untuk berehat ialah sebelum gelincir matahari, iaitu sebelum masuknya waktu Zohor. Hal ini adalah sebagaimana beberapa dalil yang menyebut sunnah Baginda untuk berehat sementara menunggu masuknya waktu Zohor.
Bagaimanapun, ia perlu disesuaikan dengan keadaan. Jika anda terikat dengan pekerjaan dan amanah, maka jangan pula sehingga diabaikan perkara tersebut.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Rumaysho.com

