Pernah anda terfikir, mana yang lebih baik? – “Mengantuk kerana penat kerja, namun pahala menunaikan solat malam (tahajud) adalah berganda-ganda, jadi perlu tidur atau menunaikan solat?”
Atau – “Ingin mengumpul wang untuk membayar hutang, tetapi teringin juga nak memberi sedekah kepada masjid.”
Jadi, mana satu yang lebih baik untuk dilaksanakan? Sebenarnya, dalam hal ini, kita perlu faham bahawa Islam tidak pernah memberati umatnya dengan perkara-perkara di luar batas kemampuannya.
Dalam masa yang sama, anda perlu tahu untuk mendahulukan perkara yang menjadi keutamaan. Sebagai contoh, Allah amat menggalakkan hambaNya untuk melakukan solat malam dan juga ibadah-ibadah sunat lain, namun Allah tidak pernah menyuruh kita mengabaikan kesihatan atau tidak memberi rehat kepada tubuh badan sendiri.
Kerana, dengan mendapatkan rehat yang cukup, siapa tahu anda mungkin boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi.
Inilah yang disebut sebagai sederhana dalam ibadah. Setiap perkara yang kita lakukan perlulah dilaksanakan dengan seimbang dan sederhana. Melebih-lebih juga tidak elok sekiranya ia boleh memberi kesan kepada perkara lain.
Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa, Baginda SAW pernah berpesan mengenai perkara ini:
Maksud: “Jika salah seorang daripada kalian berada dalam keadaan mengantuk dalam solatnya, hendaklah ia tidur terlebih dahulu sehingga hilang mengantuknya. Kerana jika salah seorang di antara kalian tetap solat sedangkan sedang berada dalam keadaan mengantuk, ia tidak akan tahu sama ada mungkin ia sedang membuat permintaan atau sedang mencela dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 212)
Syeikh Mustafa Al-Bugha menyebut bahawa, hadis ini adalah sebagai salah satu peringatan buat kita untuk tidak berlebih-lebih dalam ibadah.
Kita perlu tahu untuk membezakan mana yang perlu diberi keutamaan dan tidak. Bayangkan jika anda menunaikan solat dalam keadaan mengantuk, adakah kekhusyukan itu akan hadir? Walhal, yang paling difikirkan adalah bila saatnya untuk tidur atau menghabiskan solat dengan segera.
Jadi, dalam hal ini, yang paling penting ialah beri ruang juga kepada diri anda untuk berehat agar kesihatan badan dapat dijaga dan boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi.
Jangan memaksa diri, namun cuba lakukan setiap ibadah itu dengan perlahan-lahan dan sederhana.
#Menuju2021
#PE1H
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.