Gaya Hidup, Inspirasi

Hadis Mengenai Bab Ilmu Dan Kasih Sayang Oleh Imam Bukhari

Oleh Malihah A.Aziz  •  13 Nov 2020  •  6 min baca

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bersempena dengan hujung bulan Rabiulawal 1442 Hijrah ini, iaitu bulan kelahiran Rasul kita yang tercinta, penulis terpanggil untuk sama-sama mengingatkan diri ini dan juga pembaca tentang  sunnah Rasulullah SAW yang mulia sehingga Baginda telah menjadi teladan dan ikutan sepanjang zaman.   

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab, 33:21)

Dalam ayat ini, Allah telah memuji Rasulullah dan menyifatkan Baginda SAW sebagai contoh yang baik bagi orang-orang beriman.

Michael H.Hart dalam bukunya yang di terbitkan pada tahun 1978 iaitu The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, telah menyenaraikan Nabi Muhammad SAW di tangga teratas sebagai manusia berpengaruh sepanjang sejarah melebihi tokoh lainnya.

Hart menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW sangat berjaya (supremely successful) dalam bidang keagamaan dan sekular.

Michael H.Hart bukanlah seorang Islam tetapi beliau memilih dan menjadikan Muhammad SAW sebagai seorang tokoh yang sangat ulung walaupun ia telah mengundang pelbagai kontroversi.

Bagaimana pula kita sebagai umatnya? Adakah kita sudah berusaha keras untuk mengenal Rasulullah SAW serta menghidupkan sunnahnya?

Jadi, untuk entri kali ini, penulis akan menghimpunkan 10 terjemahan hadis Rasulullah SAW tentang Bab Ilmu dan Bab Adab / Kasih Sayang yang dipetik dari Sahih Bukhari.

Hadis-hadis yang dipilih adalah yang jarang didengar atau diamalkan tetapi mudah difahami, sesuai untuk bacaan dan rujukan pembaca.  

Ilmu

Ilmu adalah suatu perkara yang sangat penting kerana ia boleh menjaga ‘tuannya’ di dunia dan di akhirat kelak. Dengan ilmu, manusia boleh lebih maju dan tinggi.

Disebabkan itu, kita dituntut untuk menuntut ilmu. Berdasarkan hadis yang dibawa ini, kita boleh melihat betapa besarnya manfaat ilmu dalam kehidupan;

#1 – Bab Keutamaan Menuntut Ilmu

Ibnu Umar r.a. berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi diberi segelas susu. Aku pun meminumnya sehingga aku melihat pemandangan yang bagus keluar dari barisan kukuku. Kemudian aku berikan sisa minumanku kepada Umar Bin Khattab.”

Para sahabat bertanya: “Apakah takwil mimpi itu, Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ilmu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 0065)

#2 – Bab Bersungguh-Sungguh Mendapatkan Hadis

Dari Abu Hurairah RA katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah SAW:

Maksud: “Siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu pada Hari Kiamat nanti?

Jawab Rasulullah SAW: “Aku telah menduga wahai Abu Hurairah, tidak ada orang yang mendahuluimu untuk menanyakan masalah ini kerana aku melihat kesungguhanmu terhadap  hadis. Orang yang paling berbahagia dengan syafaatku pada Hari Kiamat nanti adalah orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah dengan ikhlas dari hati atau jiwanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6085)

#3 – Bab Orang Yang Mengulangi Ucapannya Tiga Kali Untuk Mudah Faham

Dari Anas RA, dari Nabi SAW

Maksud: “Sesungguhnya nabi, apabila Baginda mengucapkan satu patah kata diulanginya sampai tiga kali, sehingga orang mengerti maksudnya. Dan apabila Nabi datang kepada satu kaum, Baginda memberi salam kepada mereka, sampai tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 0048)

Ini adalah salah satu bentuk komunikasi Baginda SAW kepada orang sekeliling. Ia adalah untuk memberi kefahaman yang jelas kepada perkara yang disampaikan dan memastikan tiada salah faham yang berlaku.

#4 – Bab Hari Khusus Untuk Wanita Menuntut Ilmu

Dari Abu Said Al Khudri RA berkata

Maksud: “Beberapa orang wanita mengajukan permohonan kepada Nabi: “Kami tidak memperolehi waktu untuk belajar darimu kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami dapat pula belajar.”

Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah.

Antara lain, Baginda bersabda: “Barangsiapa di antara kamu kematian tiga orang anak, menjadi dinding baginya dari api neraka.” Kemudian, seorang wanita bertanya: “Bagaimana dengan dua orang?” Baginda menjawab: “Ya, ia adalah sama.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 0077)

#5 – Bab Orang Yang Mendengar Lalu Bertanya Sehingga Memahaminya

Aisyah RA, apabila mendengar sabda Nabi dan beliau tidak mengerti maksudnya, ia akan ditanyakan kembali kepada Baginda sehinggalah memahaminya.

Baginda SAW pernah bersabda: “Barang siapa diperiksa, disiksa.”

Kata Aisyah: “Bukankah Allah berfirman: “Nanti akan diperiksa dengan pemeriksaan yang ringan.”

Baginda menjawab: “Itu hanya dihadapkan saja (ke hadapan pengadilan Allah). Tetapi orang yang diperiksa dengan teliti akan binasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 0078)

Adab / Kasih Sayang

Adab dan kasih sayang juga adalah perkara penting yang dibincangkan dalam kitab ini. Ia menunjukkan bahawa hubungan kita dengan sekeliling perlulah dijaga.

#1 – Bab Perbuatan Baik Adalah Sedekah

Dari Abu Musa al-Asy’ari  RA katanya, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Setiap Muslim wajib bersedekah.” Para sahabat bertanya: “Kalau tidak ada apa-apa?” Rasulullah SAW bersabda: “Ia berusaha dengan kedua tangannya, lalu ia mendapat manfaat bagi dirinya dan ia bersedekah.”

Mereka bertanya lagi: “Kalau ia tidak mampu atau tidak boleh melakukannya?” Rasulullah SAW menjawab: “Dia boleh membantu orang yang sangat memerlukan bantuan.” Mereka bertanya: “Bagaimana jika dia tidak boleh melakukannya?”

Baginda menjawab: “Hendaklah ia menyeru kepada kebaikan atau yang maaruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana jika dia tidak boleh melakukannya?” Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah dia tidak berbuat jahat. Sungguh dengan begitu dia mendapat pahala sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1353)

#2 – Bab Berhati-Hati Dengan Amarah

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang berkelahi, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya di waktu marah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1715)

#3 – Bab Keutamaan Orang Yang Mengasuh Anak Yatim

Dari Sahl bin Sa’d RA, katanya Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Aku dan orang yang mengasuh anak yatim di dalam syurga nanti adalah seperti ini (Baginda memberi isyarat dengan dua jari, jari telunjuk dan jari tengah).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 4998)

#4 – Bab Menyayangi, Mencium Dan Memeluk Anak

Dari Aisyah RA, katanya, seorang Arab Badwi telah datang kepada Nabi SAW lalu dia berkata:

“Apakah kalian mencium anak-anak kecil? Kami tidak pernah mencium mereka.” Nabi SAW berkata: “Aku tidak bisa berbuat apa-apa untukmu seandainya Allah telah mencabut kasih sayang dari dalam hatimu.” (Hadis Riwayat Bukhari, 69/70)

#5 – Bab Tidak Boleh Menghina Jiran Tetangga

Dari Abu Hurarirah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Wahai para muslimah! Janganlah seseorang menghina (pemberian) tetangganya walaupun hanya kuku kambing.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2566)

Kesimpulan

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan rahmat kepada Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari yang lebih dikenali sebagai Imam al-Bukari yang telah mewariskan kepada kita, kitab Sahih al-Bukhari, sebuah karya yang cukup hebat dan agung.

Semoga Allah SWT juga menganugerahkan kita kesungguhan dan keikhlasan dalam memartabatkan dan mengamalkan  sunnah Rasulullah SAW, tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Malihah A.Aziz

Berkelulusan Diploma Lanjutan Undang-Undang dari ITM pada 1989 (sekarang UITM). Memulakan kerjaya sebagai seorang peguam dan kemudian menyertai sebuah syarikat telekomunikasi sehingga bersara pada 2017. Dilantik sebagai seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) (Siri 1) pada 2010 . Sejak bersara penulis berusaha menimba ilmu bagi memenuhi minat dan mengasah bakat sebagai penulis/penterjemah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami