Ada sebuah kisah yang diceritakan ketika peristiwa hijrah Baginda SAW mengenai sarang labah-labah yang masih elok berada di pintu gua, tempat yang Baginda SAW bersembunyi bersama sahabatnya, Abu Bakar.
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, daripada Ibn Abbas RA, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Mereka (kaum Musyrikin) menjejaki kesan Nabi SAW. Apabila mereka tiba di sebuah bukit, mereka tercari-cari lalu mereka telah melalui sebuah gua dan terlihat sarang labah-labah di pintu gua. Mereka berkata: “Sekiranya dia (Nabi SAW) masuk ke gua melalui pintu ini, pasti tiada sarang labah-labah di pintu ini. Maka, mereka (kaum musyrikin) berada di gua tersebut selama 3 malam.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 3251)
Ulama sebenarnya berbeza pendapat dalam menentukan status kisah ini. Imam al-Hafiz ibn Kathir menyebut bahawa ia adalah kisah yang sahih. Begitu juga dengan Imam al-Hafiz ibn Hajar Al-Asqalani yang menyebut bahawa ia adalah kisah yang mempunyai sanad yang hasan.
Sebaliknya, Syeikh Syuaib al-Arnouth menyebut bahawa hadis ini adalah daif kerana wujudnya sanad yang daif (lemah).
Bagaimanapun, ulama berpandangan bahawa ia adalah kisah yang sahih (benar) sebagaimana yang dipersetujui oleh sebahagian ulama lain.
Daripada itu, kita mendengar bahawa tidak boleh merosakkan tempat tinggal labah-labah kerana ia adalah makhluk yang telah membantu melindungi Baginda SAW.
Namun, adakah benar larangan tersebut? Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat berkenaanya.
Pertama, kita perlu melihat bahawa perkara yang mengganggu manusia atau yang tidak menimbulkan keharmonian, boleh dihilangkan.
Sebagai contoh, jika ia menyebabkan kebersihan di kawasan tersebut tidak terjaga, maka adalah lebih utama untuk dihilangkan.
Imam Ibn Utsaimin menjawab – “Mengusir labah-labah dari sudut rumah dibolehkan. Ia kerana, haiwan tersebut boleh mengganggu dan memberi kotoran. Ia juga termasuk dalam kategori haiwan yang mengganggu. Jadi, tiada masalah untuk menghilangkan sarangnya.” (Fatwa Nur ala ad-Darbi, Imam Ibnu Utsaimin)
Jadi, jika sarangnya mengganggu dan keberadaannya boleh membawa kemudaratan kepada isi rumah, maka adalah lebih baik untuk menghilangkannya.
Bahkan, ia adalah perlu demi menjaga kebersihan rumah. Tetapi, jika kita yang datang ke tempatnya dan dengan sengaja ingin merosakkannya, maka ia adalah perkara yang tidak dibolehkan.
Contohnya, kita masuk ke dalam hutan untuk aktiviti mendaki gunung dan dengan sengaja merosakkan tempat tinggal haiwan tersebut sedangkan keberadaannya tidak memberi gangguan kepada kita. Hal ini perlu dielakkan.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Konsultasi Syariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.