Sering kita dengar di ceramah atau ada juga peringatan ringkas yang diberikan berkenaan kematian.
Katanya, kematian itu boleh datang menjengah secara tiba-tiba. Bahkan, malaikat maut akan sentiasa datang menjenguk manusia yang hampir dengan tarikh ajalnya.
Sehingga ada sebuah hadis masyhur yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA berkenaan ini, iaitu:
إِنَّ مَلَكَ الْمَوْتِ لَيَنْظُرُ فِي وُجُوهِ الْعِبَادِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِينَ نَظْرَةً، فَإِذَا ضَحِكَ الْعَبْدُ بَعَثَ إِلَيْهِ يَقُولُ: يَا عَجَبَاهُ بُعِثْتُ إِلَيْهِ لأَقْبِضَ رُوحَهُ وَهُوَ يَضْحَكُ
Maksud: “Sesungguhnya malaikat maut akan melihat wajah-wajah hamba (manusia) setiap hari sebanyak 70 kali, apabila hamba tersebut ketawa, maka akan diutuskan malaikat tersebut kepadanya lalu berkata: “Sangat menghairankan, aku telah diutuskan kepada engkau untuk mengambil rohnya ketika dia sedang ketawa.”
Ia ada dicatatkan oleh Imam Suyuti dalam Kitab Jam’ul Jawami’, al-Haba’ik dan Syarh as-Sudur dan juga ada direkodkan oleh Imam Qurtubi dalam Kitab at-Tazkirah.
Bagaimanapun, pakar hadis menyebut bahawa hadis ini adalah palsu berdasarkan sanadnya yang tidak pasti.
Imam Al-Hafiz ibn Hajar menyebut bahawa ada perawi yang pendusta menyebabkan sanadnya tidak thiqah (dipercayai). Begitu juga Ibn al-Kinani menyebut bahawa ia adalah palsu dan tidak boleh digunakan sebagai hujah.
Melihat kepada penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah, hadis ini adalah palsu dan tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW.
Ada ulama seperti Imam Suyuti dan Al-Haba’ik yang berpandangan bahawa, malaikat sentiasa datang menjenguk manusia. Namun, bilangannya tidak diketahui.
Dalam kita mengingati diri terhadap kematian, yang paling perlu diingati adalah Allah yang sentiasa melihat hambaNya. Itu adalah sesuatu yang pasti.
Jadi, tidak perlu menyebarkan dalil yang tidak sahih atau palsu berkenaan perkara ini kerana bimbang boleh merosakkan akidah kita.
Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan

