Pernah rasa cemburu dengan burung? Ia adalah makhluk yang boleh terbang bebas di ruang udara dan boleh menjadikan manusia untuk berfikir di sebalik hikmah penciptaannya.
Bahkan, terdapat banyak dalil di dalam Al-Quran dan hadis yang menyebut mengenai perihal burung.
Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari ‘Umar bin Khattab bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah, tentu kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki. Ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2344)
Dalil ini menunjukkan kepada manusia untuk belajar dari gaya kehidupan burung. Walaupun ia adalah makhluk yang tidak berakal, namun tidak salah kita mengambilnya sebagai iktibar dan teladan kerana itulah fungsi kewujudan makhluk di muka bumi ini, iaitu yang sentiasa memberi pengajaran untuk sekeliling.
Bukan itu sahaja, ada sebuah hadis yang menunjukkan bahawa salah satu ciri penghuni syurga adalah mereka yang mempunyai hati seperti burung.
يَدْخُلُ الْجَنَّةَ أَقْوَامٌ أَفْئِدَتُهُمْ مِثْلُ أَفْئِدَةِ الطَّيْرِ
Maksud: “Akan masuk syurga suatu kaum yang hati mereka seperti hati burung.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2840)
Jumhur ulama menukilkan bahawa hadis ini adalah sahih. Ia ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Al-Musnad dan Muslim. Dalil yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ini mempunyai sanad yang thiqah (dipercayai).
Pandangan Ulama Mengenai Hadis
Apa yang dimaksudkan dengan orang yang mempunyai hati seperti hati burung? Dalam hal ini, Imam Nawawi ada menyebut melalui kitab Syarh Muslim (17/177), iaitu:
Ciri-ciri ahli syurga itu adalah yang mempunyai hati yang lembut dan baik, sentiasa bergantung dan bertawakkal kepada Allah serta takut kepada Allah.
Ia disinonimkan dengan sifat burung kerana kita melihat bahawa burung adalah salah satu ciptaan Allah yang sentiasa bertawakkal kepada Allah.
Tidak dinafikan, bukan burung sahaja yang mengharapkan rezeki dari Allah, tetapi ia adalah salah satu contoh yang paling dekat.
Burung tidak hanya duduk di sarangnya sambil menunggu rezeki jatuh dari langit, tetapi ia keluar dan terbang untuk berusaha mencari rezeki.
Walaupun ia tidak tahu sama ada rezeki untuknya hari itu ada atau tidak, namun, ia tetap keluar di pagi hari untuk mengisi kekosongan perutnya dan juga ahli keluarganya.
Begitulah kita sebagai manusia, tidak hanya menunggu rezeki turun dari langit sambil menadah tangan kepada Allah, namun ia perlu seiring dengan usaha.
Letakkan apa jua usaha yang halal dan diredai Allah dalam setiap urusan yang kita lakukan. Yakin bahawa rezeki setiap manusia itu sentiasa ada, dengan itu kita akan sentiasa bersemangat untuk mencarinya.
Jadi, apa yang anda belajar melalui hikmah penciptaan burung?
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumaysho.com

