Site icon Tazkirah

Belajar Secara Atas Talian? Baca Doa Ini Untuk Mudah Diberi Kefahaman

Hebatnya ujian anak-anak mahasiswa hari ini. Episod COVID-19 yang melanda kita hari ini memberi kesan dan impak kepada semua termasuklah mereka yang sedang menuntut ilmu.

Apabila dilihat kepada para pelajar di peringkat sekolah, ada yang terpaksa menutup seketika sekolah disebabkan virus yang mengganas sehingga boleh memberi kesan kepada mereka.

Tetapi, untuk para mahasiswa, pelajaran mereka masih diteruskan sama ada secara atas talian mahupun tidak, masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya sendiri.

Walau bagaimana cara dan cabaran yang anda sedang lalui dalam perjalanan menuntut ilmu, Allah pasti akan mengganjarkan pahala yang berlipat kali ganda buat anda.

Sebagaimana sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah Allah, membaca kitab Allah (Al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2867)

Memang agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan melalui pembelajaran secara atas talian walaupun kaedah ini telah beberapa bulan dipraktikkan.

Ada yang masih terpaksa bergelut dengan masalah capaian internet, kawasan yang kurang kondusif membuatkan fokus sedikit terganggu serta ada juga yang mengalami masalah dengan diri sendiri apabila sukar untuk memahami ilmu yang disampaikan.

Disebabkan itu, kita tidak boleh mengubah keadaan ini sekarang kerana ia adalah salah satu perkara yang perlu dihadap.

Namun, sebagai umat Islam yang percaya bahawa Allah itu Maha Menolong hambaNya, apa kata setiap kali sebelum memulakan kelas, ambil ruang sejenak untuk memohon agar setiap ilmu yang dipelajari akan mudah difahami.

Apa doa yang boleh diamalkan? Entri kali ini akan berkongsi kepada anda sebuah doa mudah dan ringkas yang boleh dihafal dan diamalkan.

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
 وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي
يَفْقَهُوا قَوْلِي

Mafhum: “Wahai tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku.” (Surah Taha, 20:25-28)

Semoga setiap kesusahan dan kesulitan yang dialami akan dipermudahkan dan diberi jalan keluar oleh Allah.

Jom sama-sama beramal dengan doa ini.

Exit mobile version