Agama itu adalah nasihat. Apa yang dimaksudkan dengan nasihat di sini? Ia adalah salah satu perbuatan untuk menarik kita semua ke arah kebaikan dan memberi petunjuk ke arah kebenaran.
Disebabkan itu, kita dinasihati untuk sentiasa memberi nasihat kepada orang sekeliling kita sama ada dengan cara secara langsung atau tidak.
Begitu juga jika anda ingin menegur seseorang, tegurlah dengan baik-baik dan nasihatilah ia dengan berhemah.
Walau bagaimanapun, boleh menegur seseorang sambil diselit sindiran? Adakah ia dikira sebagai sebuah amalan yang baik kerana tujuan asalnya adalah untuk menunjukkan perkara yang benar kepadanya.
Dalam hal ini, pertama kita perlu faham bahawa nasihat itu perlu dilakukan dengan kata-kata dan ucapan yang lembut. Jangan menasihati dengan memasukkan unsur sindiran atau kata-kata kasar yang dibenci Allah.
Imam Syafi’e menjelaskan mengenai adab menasihati;
Maksud: “Berilah nasihat kepadaku ketika aku sendiri. Jauhilah memberikan nasihat kepadaku ketika aku berada di tengah-tengah keramaian. Sesungguhnya nasihat di tengah-tengah manusia itu termasuk suatu kejian yang aku tidak suka mendengarnya. Jika engkau menyelisihi dan menolak sarananku, maka janganlah engkau marah.” (Kata-kata Imam Syafi’e dan disusun oleh Muhammad Ibrahim Salim)
Dan melalui kalam Allah juga disebutkan mengenai kelembutan dalam teguran, iaitu;
Mafhum: “Kemudian, hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha, 20:44)
Seterusnya, kita perlu memahami bahawa sindiran dan cacian itu merupakan salah satu sifat mazmumah (buruk) yang boleh menyebabkan orang lain merasa tidak selesa dengan perkara tersebut.
Dan tidak semua orang boleh memahami makna di sebalik sindiran tersebut. Ia bahkan tidak akan meninggalkan kesan buat sesiapa. Bukankah itu adalah perbuatan yang sia-sia?
Jadi, dapat disimpulkan di sini bahawa berilah teguran itu dengan cara terbaik yang anda boleh lakukan.
Dan menegur itu juga jangan sehingga memalukan seseorang sama ada dalam bentuk hinaan atau dilakukan seara terang-terangan.
Dan bagi penulis, sindiran itu jika disalah guna, ia bukan boleh meninggalkan kesan yang baik dalam diri seseorang tetapi sebaliknya.
Ia boleh meninggalkan ‘parut’ emosi kepada si penerima. Jika pukulan merupakan cara yang paling akhir untuk mengajar seseorang kerana ia boleh memberi kesan kepada fizikal, begitu juga dengan sindiran.
Bukankah Baginda SAW mengajar kita untuk menegur dengan hikmah, iaitu bijaksana? Jadi, anda perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dalam menegur.
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiaban setengahnya yang lain.” (Surah Al-Hujurat, 49:11)
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Adab Dalam Memberi Nasihat Dan Teguran
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.