Gaya Hidup, Inspirasi

Kepentingan Ilmu – Gagal Pun Boleh Berjaya?

Oleh Fizah Lee  •  14 Oct 2020  •  5 min baca

Bagaimana ilmu boleh mengubah kehidupan kita? Dulu, sewaktu kecil orang tua saya sering menyuruh saya belajar dengan bersungguh-sungguh. Katanya biar sampai ke menara gading.

Rasanya, anak-anak pada zaman saya juga begitu. Orang tua mereka pasti sangat menekankan soal pendidikan.

Bahkan, apabila melihat kepada kawan-kawan yang datangnya dari keluarga yang kurang berpendidikan atau ibu bapa yang sempat belajar hanya di peringkat sekolah rendah, anak-anak mereka tetap dididik untuk belajar sehingga peringkat yang tertinggi.

Katanya agar dapat mengubah kehidupan keluarga. Dan ada juga perkongsian yang tular dengan nasihat orang tua kepadanya yang menyebut;

“Dulu, ayah tak boleh belajar tinggi sebab masalah kewangan. Sekarang, ayah tak akan biarkan perkara yang sama menimpa anak ayah lagi.”

Kata-kata sebegini yang sebenarnya membakar lagi semangat kita untuk tidak mensia-siakan harapan mereka.

Rasanya, tiap kali keluarnya keputusan peperiksaan SPM, PMR mahupun UPSR waktu itu, pasti ia adalah hadiah terbesar yang pernah diberikan oleh anak-anak kepada orang tua mereka.

Apatah lagi jika mampu membawa ibu bapa sama-sama naik pentas tatkala mendapat keputusan cemerlang seperti straight A.

Dan kita dapat lihat, setiap kali tibanya musim peperiksaan, pasti kisah-kisah kejayaan akan ditularkan semula untuk memberi semangat.

Petua-petua kejayaan seperti rahsia dan tips untuk berjaya juga akan mendapat sambutan hangat terutamanya oleh pakar motivasi yang cuba ‘meracuni’ pemikiran anak-anak pelajar waktu itu.

Semua orang pula berebut-rebut ingin berjaya seperti tokoh dan idola yang ada. Pendek kata, bukan sekadar lulus dalam peperiksaan yang menjadi matlamat utama tetapi lebih dari itu, iaitu straight A.

Namun, berbeza dengan situasi hari ini di mana ilmu bukan lagi sebuah lambang yang dikagumi.

Bahkan, setiap kali keluarnya keputusan peperiksaan, pasti akan muncul juga tweet mahupun kisah-kisah kegagalan pada awal yang akhirnya boleh juga menjadikannya seorang yang berjaya.

“Tidak mengapa gagal SPM. Kita pun boleh jadi jutawan.”

Adakah perkara ini menjadi kebiasaan kita pada hari ini sehingga anak-anak generasi kita juga bakal terjebak ke dalam ketandusan ilmu dan bakal memandang ilmu sebagai sesuatu yang biasa sahaja?

Jadi, siapa di antara kita yang bakal mentadbir negara suatu hari ini? Siapa yang bakal menjadi karyawan yang mendidik nusa bangsa? Siapa yang bakal merawat manusia di bidang kedoktoran?

Betul Ke Tidak Mengapa Gagal

Benar, semua orang dilahirkan dengan kemahiran dan kepandaian sendiri. Tidak salah jika anda tidak mendapat keputusan yang cemerlang seperti tokoh-tokoh yang pernah berjaya.

Jika plan A tidak berhasil, plan B masih ada. Kalau dulu, jika tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, anda boleh sambung di peringkat STAM, STPM mahupun menceburi bidang perniagaan. Dan sekarang, ia adalah pilihan yang sama.

Orang yang berjaya pun kadang-kadang memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran di peringkat universiti kerana matlamat mereka adalah untuk membina perniagaan.

Usaha itu penting. Kan lebih elok jika anda ingin menjadi usahawan, jadilah usahahawan yang bukan sahaja kaya dengan wang tetapi juga dengan ilmu.

Sewaktu zaman belajar, belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jangan bazirkan wang ringgit, masa dan juga keringat ibu bapa anda untuk perkara yang tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Allah juga amat menyukai orang yang berilmu. Cuba pandang kepada zaman di mana ketamadunan ilmu dipandang sangat tinggi.

Kota Baghdad yang menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang saat ulung dan telah melahirkan ramai ilmuwan seperti Jabir bin Hayya, Ibnu Haitam, Al-Baitani, Ibn Sina dan Al-Khawarizmi.

Bahkan, dasar kerajaan Abbasiyyah sendiri yang menekankan kepada ilmu pengetahuan sehingga menjadikan ia sebagai pusat kepada ilmu.

Begitulah hebatnya sanjungan ilmu dari dulu. Namun, adakah ia akan terhenti sehingga zaman ini disebabkan mentaliti kita yang membiasakan kepada kegagalan itu adalah perkara biasa?

Tidak salah jika anda ingin menceburi bidang lain, semuanya adalah ilmu. Untuk berniaga, anda memerlukan ilmu. Untuk menjadi ibu, anda memerlukan ilmu dan untuk memasak pun, anda memerlukan ilmu.

Semua di dunia ini memerlukan kepada ilmu. Namun, apabila anda mengatakan bahawa pembelajaran itu tidak penting, itu adalah perkara yang kurang wajar.

Semua orang ada jalan dan pilihannya sendiri yang ingin dituju. Jangan dihasut pemikiran manusia dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pemahaman kita tentang ilmu.

Peranan Kita Semua Terhadap Ilmu

Ilmu itu boleh berkembang dan boleh menjadikan penuntutnya juga berkembang. Dengan ilmu, ketamadunan manusia akan mampu menjadi lebih hebat dan dipandang tinggi.

Mafhum: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadalah, 58:11)

Jadi, carilah ilmu dan amalkan ia. Ada ilmu tanpa digunakan juga tidak boleh. Itu maksudnya sia-sia. Dan perbuatan yang didasari tanpa ilmu juga diibaratkan sebagai melangggar konsep. Bagaimana ingin melakukan sesuatu kalau tiada pengetahuan?

Di sinilah tugas kita sebagai generasi hari ini, sama ada yang bakal memimpin masa depan, yang sedang memimpin atau yang menyaksikan pimpinan kini.

Kepentingan ilmu itu perlu sentiasa ditekankan agar suatu masa kelak, ia tidak dipandang rendah seolah-olah tiada ilmu pun tidak mengapa.

Ada ilmu tidak semestinya untuk berjaya atau mencipta nama, namun cukup untuk menunjukkan bahawa ia ada suatu bentuk ketamadunan yang sangat penting.

Cuba lihat ramai dalam kalangan tokoh yang berjaya juga mempunyai ilmu yang cukup hebat setanding dengan kemajuan yang berjaya mereka capai.

Disebabkan itu, hari ini kita mampu menikmati kemajuan hasil daripada implementasi mereka terhadap ilmu.

Tuntutlah ilmu kerana ia adalah salah satu cabang kepada ibadah. Tuntut ilmu juga kerana ia adalah salah satu pintu kepada kejayaan.

Jangan menuntut ilmu untuk membangga diri. Jangan menuntut ilmu kerana ia adalah perlumbaan dan jangan menuntut ilmu untuk peperiksaan.

Ilmu adalah kehidupan kepada pemikiran

-Abu Bakar-


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami