Gaya Hidup

Introspektif Untuk Menjadi Baik (Siri I)

Oleh Baha'uddin Hamizan  •  8 Oct 2020  •  5 min baca

Dua hari lepas, saya telah mendengar rakaman ceramah Menteri Agama sewaktu sedang beriadah.

Kebiasaannya saya akan buka aplikasi Youtube dan letakkan telefon dalam ‘pouch bag’ kecil sambil berlari. Sebab, kebiasaannya riadah memakan masa paling kurang setengah jam, jadi agak rugi jika sekadar melihat sekeliling. Lebih baik saya layan ceramah sambil berlari, ada juga ilmu yang dapat.

Berbalik kepada ceramah Dr Zulkifli, beliau menceritakan mengenai sifat sahabat-sahabat Rasulullah yang suka bertanya soalan setiap kali ada peluang.

Soalan para sahabat pula kebanyakannya berkisar mengenai amalan baik, cara untuk menghindari larangan Allah dan bagaimana mahu masuk ke syurga.

Apa yang saya perasan tentang sesetengah daripada kita pula adalah lebih gemar bertanya mengenai bagaimana untuk berjaya atau kaya apabila bertemu dengan para asatizah.

Sebab itulah popularnya doa-doa tertentu, solat tertentu, zikir tertentu yang dikatanya dapat menarik rezeki. Sampaikan ada yang menggantung ayat Al-Quran di dinding semata-mata mahu menjadi ‘pelaris’ bagi perniagaannya.

Hal ini membuatkan saya terfikir; adakah kita beribadah dan beramal untuk ganjaran menjadi kaya semata-mata? Adakah kita tidak melakukannya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik? Walhal itulah yang sepatutnya.

Namun, fitrah manusia sukakan kejayaan dan kemewahan. Kadangkala proses untuk mendapatkan kejayaan itu membuatkan kita lupa dan lalai terhadap ajaran Islam.

Perkara ini biasa berlaku dalam hidup kita. Ada kalanya kita rasa takut dan taat terhadap perintah Allah, ada masanya pula kita seolah-olah lupa sedangkan kita tahu sifat kebesaran Allah.

Tetapi berapa kali kita tersilap dalam mengatur langkah. Ini mengingatkan saya kepada sebuah hadis berkenaan sahabat yang bernama Hanzalah.

Beliau sangat risau menjadi munafik kerana apabila bersama dengan Rasulullah yang mengingatkan tentang syurga dan neraka, seolah-olah beliau boleh melihatnya.

Tetapi, apabila meninggalkan majlis, beliau dilalaikan dengan ahli keluarga dan harta benda. Perkara itu diluahkan kepada Abu Bakar, tetapi Abu Bakar turut merasakan perkara sama. Mereka pun berpakat berjumpa dengan Nabi untuk bertanyakan permasalahan itu.

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً –  ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksud: “Demi (Zat) yang jiwaku di TanganNya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2750)

Begitulah jawapan Baginda kepada mereka berdua. Dr Zaharuddin Abd Rahman ketika menjadi tetamu dalam rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah pada tahun 2012 pernah membicarakan hadis ini.

Secara ringkasnya, Nabi mengatakan bahawa jika kita boleh sentiasa serius dan bersungguh-sungguh dalam beragama, malaikat pun boleh berjabat tangan dengan kita.

Di sini, kita faham bahawa kita hanya insan yang penuh dengan kealpaan dan kesilapan. Kita ialah manusia yang sangat berbeza berbanding malaikat yang langsung tidak pernah berada dalam kelalaian kepada Allah.

Berat Sebelah Terhadap Diri Sendiri dan Orang Lain

Seringkali saya perasan, kebanyakan dari kita gemar mengkritik orang lain, tetapi apabila diri sendiri yang mengalaminya, akan diberikan seribu satu alasan padahal kedua-duanya berada dalam situasi yang sama.

Saya pernah menulis mengenai self-serving attribution bias sebelum ini, mengambil contoh datang lambat ke satu tempat.

Apabila berlaku pada orang lain, kita akan kritik tentang pengurusan masanya tetapi apabila terkena pada diri kita, ada sahaja alasan yang akan disalahkan seperti trafik yang tiba-tiba sesak atau ada hal kecemasan saat-saat akhir.

Perkara ini kadangkala kita tidak sedar kerana sifat alami (fitrah) seorang manusia yang akan mempertahankan diri sendiri berbanding orang lain.

Ia juga boleh dikaitkan dengan kata-kata Qarun yang bongkak apabila direzekikan dengan kemewahan yang melimpah ruah.

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي

Mafhum: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.” (Surah al-Qashash 28:78)

Sewaktu berbicara tentang kerjaya dan pekerjaan bersama abang saya, beliau berkata ramai yang beranggapan bahawa orang yang mendapat kerja di sektor awam ‘ada kabel’ sebaliknya jika mereka sendiri dapat kerja tersebut pula anggap sebagai rezeki dan usaha sendiri.

Daripada situ saya fikir yang kita tidak terlepas daripada persepsi berat sebelah, namun untuk mendakwa orang lain melakukan perbuatan tidak amanah memerlukan bukti yang kukuh. Jika tidak boleh jatuh kepada fitnah dan prasangka buruk.

Contoh yang lain ialah jika kita ada saudara atau kawan yang mempunyai jawatan dan pengaruh yang memberikan dia kuasa untuk melakukan hal-hal tertentu.

Kita akan gunakan alasan, ‘saudara atau rakan mestilah tolong sesama kita’ apabila kita mahukan pertolongan dia. Tetapi jika orang lain, kita akan kecam sehabis boleh dengan mengatakan itu rasuah dan pecah amanah.

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksud: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur maka ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta maka akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6094)

Nabi berpesan supaya kita untuk sentiasa berlaku jujur. Kita boleh tidak jujur dan bersembunyi di sebalik sistem atau pun birokrasi.

Tetapi perbuatan khianat tersebut akan mencatatkan kita sebagai pendusta yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka kelak.

Di dunia, kita boleh berhujah kononnya ada kelompongan dalam undang-undang atau birokrasi yang lapuk tetapi hati kita sebenarnya tahu sama ada jalan yang dipilih itu betul atau salah.

Dalam sudut yang lain pula, sebagai majikan atau ketua organisasi, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berikan amanah terhadap orang yang benar-benar ahlinya untuk mengelakkan berlaku ketirisan dalam sektor yang melibatkan urusan orang awam.

Bersambung…


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Baha'uddin Hamizan

Graduan dari Universiti Teknologi MARA, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Penulis bersama buku bertajuk Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Must Read) dan Cinta (Puteh Press). Vlogger kepada channel Youtube bernama Bahak Stories.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami