Pelan Efisien 100 Hari
Nama Nouman Ali Khan tidak asing lagi dalam kalangan kita kerana beliau merupakan seorang muslim yang sangat berpengaruh di dunia pada masa ini.
Beliau merupakan seorang pendakwah Islam berketurunan Pakistan-Amerika yang sangat telus dan santun dalam penyampaiannya.
Bukan itu sahaja, beliau telah menubuhkan Institut Bahasa Arab dan Pengajian Quran, iaitu Bayyinah kerana ingin memanfaatkan perkembangan teknologi dalam penyebaran kebaikan Islam secara universal.
Misi utama Bayyinah adalah untuk menjadikan Al-Quran dan Bahasa Arab dapat diakses di seluruh dunia dengan cara yang inovatif dan dekat dengan semua.
Namun, apa yang Nouman Ali Khan impikan untuk Bayyinah ini cukup mudah, iaitu untuk menjadikannya sebagai medan kepada insan-insan yang ingin mendekatkan diri kepada Allah.
Menariknya kisah hidup beliau saya rasa cukup menginspirasikan kita semua apabila beliau mula mempelajari Al-Quran secara mendalam tatkala berumur 19 tahun.
Melalui sebuah perkongsian ceramahnya di laman Youtube, beliau mengaku bahawa waktu kecilnya tidak diajarkan ilmu pengetahuan Islam secara mendalam seperti Bahasa Arab dan Al-Quran.
Bapanya yang merupakan seorang diplomat membawa beliau dan keluarganya berpindah-randah sewaktu kecil. Ketika usia remaja pula, mereka telah berpindah ke Amerika Syarikat dan itulah yang menjadikannya semakin jauh dengan Allah.
Namun, petunjuk dan kekuatan dari Allah itu ada di mana-mana. Beliau mula sedar akan nikmatnya mengamalkan Islam apabila beliau menghadiri Muslim Students Asociation (MSA) dan di situlah kesedarannya mula wujud.
Selepas dari itu, beliau mula mempelajari Al-Quran dan Islam secara mendalam. Beruntungnya beliau apabila Allah mempermudahkan urusannya untuk mempelajari Islam apabila bertemu dengan orang-orang hebat yang membantunya dalam urusan mendalami Al-Quran.
Beliau percaya bahawa Islam itu boleh dicapai oleh semua. Disebabkan itu, beliau ingin memanfaatkan teknologi kerana baginya ia merupakan salah satu kunci untuk membantu manusia lebih dekat dengan Al-Quran.
Pada tahun 2005, Institut Bayyinah ditubuhkan di Texas dan terus berkembang pesat di seluruh New York.
Apa yang kita boleh lihat melalui kisah beliau? Di sini saya senaraikan buat anda yang sentiasa cuba menjadi manusia terbaik agar sentiasa yakin dan percaya dengan Allah;
#1 – Kadang-kadang, orang sekeliling atau perkara kecil yang terjadi merupakan salah satu sebab untuk mengubah kita ke arah lebik baik.
#2 – Tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa belajar dari awal pada usia 19 tahun.
#3 – Setiap manusia sentiasa mempunyai peluang untuk menjadi versi yang terbaik dalam diri mereka.
#4 – Apabila tekad untuk mencari dan mendekati Allah, nescaya Allah akan membantu mempermudahkan.
Jadi, yang paling penting ialah niat dan hati kita perlu sentiasa percaya kepada Allah.
Jangan merasa bahawa anda telah terlambat untuk berubah kerana Allah sentiasa membuka pintu buat hambaNya.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Goodreads – Nouman Ali Khan’s Books
Youtube – Nouman Ali Khan
#Menuju2021
#PE1H
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.