Gaya Hidup

Nasihat Adalah Salah Satu Tanda Cinta

Oleh Fizah Lee  •  1 Oct 2020  •  3 min baca

Sewaktu kecil, ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mengasuh anda pasti akan menjaga anda dengan sepenuh hati, bagai menatang minyak yang penuh.

Segala perkara yang baik pasti akan diajar dan segala perkara yang boleh memberi kemudaratan kepada diri sendiri pasti akan ditegah.

Segala kesalahan pula akan ditegur dan diberi tunjuk ajar agar ia dapat diperbetulkan. Semua ini bukti bahawa mereka itu menyayangi anda.

Kalau kena marah pun, pasti mereka akan berkata bahawa marah itu kan tandanya sayang. Mereka marah mungkin sebab risau atau tidak ingin kita mengulangi kesilapan yang sama.

Perkara-perkara ini adalah bukti bahawa nasihat itu diaplikasikan dalam hidup anda sedari kecil lagi. Bahkan, sehingga dewasa, mereka akan menasihati anda tentang hal-hal yang kecil mahupun besar.

Semakin besar bulatan kehidupan anda, maka semakin banyak nasihat yang anda terima sama ada dari kawan sekeliling, saudara mara, guru mahupun daripada orang yang tidak anda kenali secara langsung.

Allah Cinta Hamba Yang Saling Menasihati

Nasihat itu satu perkara yang cukup mudah untuk disebut dan dilakukan tetapi tidak semua orang berani untuk mengamalkannya.

Nasihat-nasihat yang ada di sekeliling kita ini sebenarnya boleh dijadikan bekal untuk perjalanan hidup kita.

Bahkan, di hari ini, kita melihat nasihat itu datang dalam pelbagai bentuk sama ada secara terus atau tidak, jika ia sampai kepadanya, maka tidak salah untuk kita mengambilnya buat bekalan.

Contohnya, buka sahaja Twitter, kita akan melihat bebenang yang menyebut mengenai perihal kehidupan – “Ini adalah thread tentang bagaimana menabung” atau “ini adalah thread untuk move on” dan sebagainya.

Ia juga sebagai salah satu bentuk nasihat dan orang yang sentiasa menasihati orang lain ke arah kebaikan serta boleh mendatangkan manfaat, Allah amat mencintai golongan ini.

Imam Hassan Al-Basri berkata – “Sesungguhnya hamba yang dicintai di sisi Allah adalah yang mencintai Allah melalui hambaNya dan mencintai hamba Allah kerana Allah. Di muka bumi, ia juga memberi nasihat pada orang lain.” (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1:224)

Bayangkan jika anda dibiarkan terkapai-kapai tanpa nasihat dari orang sekeliling. Tiada yang menasihati anda untuk makan makanan yang berkhasiat atau tiada yang menasihati anda untuk menabung dan sebagainya.

Pasti kehidupan itu sedikit sukar, bukan? Nasihat itu adalah ungkapan yang bermaksud memberikan kebaikan kepada orang yang dinasihati.

Dan ia adalah bukti kasih sayang serta cinta terhadap saudaranya. Seorang ibu menasihati anaknya kerana perasaan sayang. Seorang sahabat menasihati kawannya kerana perasaan kasih dan pasangan yang saling menasihati kerana cinta dan semua alasan tersebut adalah untuk memberi kebaikan buat insan yang dikasihi.

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Anas bin Malik, no. 13874)

Jadi, nasihatilah sesiapa sahaja dan dalam apa jua bentuk sebagai bukti dan tanda anda mencintai orang sekeliling anda.

Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk menasihati mereka sama ada secara bersemuka atau secara umum. Ia adalah bergantung kepada kreativiti anda sendiri.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami