Setiap surah di dalam Al-Quran mempunyai kelebihan dan fadilat yang besar apabila membacanya.
Ada juga fadilat khusus yang diriwayatkan sebagai anjuran membaca surah-surah ini seperti bacaan Al-Kahfi setiap hari Jumaat bagi melindungi daripada fitnah Dajjal dan juga surah Al-Mulk setiap malam bagi menerangi kubur serta banyak lagi.
Fadilat-fadilat ini ada yang telah diriwayatkan melalui periwayatan Baginda SAW dan ganjaran-ganjaran inilah yang menjadikan manusia lebih bermotivasi untuk mengamalkan surah-surah yang ada.
Adapun, jangan pula ditinggal surah lain. Seeloknya Al-Quran itu sentiasa dibaca dan dilazimi agar membantu hati kita supaya sentiasa dekat dengan Allah.
Antara surah lain yang sering dijadikan amalan seperti surah Al-Ikhlas, Ayat Kursi dan juga surah Yaasin.
Umum mengetahui surah Al-Ikhlas itu jika dibaca maka ia adalah diibaratkan seperti telah membaca satu pertiga Al-Quran dan ayat Kursi pula sangat istimewa kerana mempunyai nama dan sifat Allah yang Maha Besar.
Namun, surah Yaasin pula dikatakan sebagai hati kepada Al-Quran? Dan ia juga telah dilihat dalam hadis seperti;
Maksud: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati dan sesungguhnya hati Al-Quran adalah surah Yaasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali Al-Quran.”
Hadis ini ada diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, melalui sunan Tirmizi 10/121, no. 2812 dalam Bab Fadhoil Al-Quran.
Melalui pernyataannya, hadis ini dinilai gharib (asing atau tak dikenali). Hal ini kerana, dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Harun Abi Muhammad. Beliau merupakan seorang yang majhul (tidak diketahui).
Manakala, Syeikh Al-Albani melalui perbahasannya dalam kitab Misykah Mashobih mengatakan bahawa ia adalah hadis yang lemah.
Justeru, dapat difahami di sini bahawa hadis yang mengatakan bahawa surah Yaasin adalah jantung kepada Al-Quran adalah tidak sahih kerana mempunyai sanad yang lemah. Manakala, ada sebahagian ulama lagi yang berpendapat bahawa ia adalah lemah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.