Oleh Natirah Azira • 23 Sep 2020 • 2 min baca
Saya bertemu beberapa orang rakan lama beberapa minggu yang lalu. Perbualan berkisar tentang perkembangan hidup masing-masing, apa yang telah dilalui dan sedang dilalui setelah lama tidak bersua muka.
Ada antara mereka yang menggambarkan kehidupan mereka pada tahun 2020 ini seperti roller-coaster. Ada yang terpaksa memanjangkan tempoh pembelajaran di universiti, ada yang sukar mendapatkan pekerjaan setelah Covid-19 melanda, ada yang putus hubungan dengan pasangan dan pelbagai lagi.
Kata mereka, ujian pada tahun 2020 ini bertimpa-timpa. Apa yang membuat saya kagum, dalam nada yang masih optimis dan tersenyum, teman saya berkata, “Itulah hidup, kadang-kadang kita tidak menyangka apa yang akan berlaku…”
Dan hal ini mengingatkan saya kepada satu perkongsian ceramah daripada Ustaz Nouman Ali Khan yang membicarakan tentang satu ayat dalam Al-Quran yang menyeru kita supaya tidak putus asa daripada berharap perkara yang baik-baik.
“…dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini” (Surah Kahfi 18:24)
Lihat bagaimana ayat ini menggambarkan perasaan optimistik agar kita berharap perkara yang baik akan berlaku pada masa hadapan. Bukankah kesusahan dan kesenangan itu silih berganti. Jika ada kesusahan maka ada pula kesenangan. Salah satunya tidak akan kekal selamanya. Itulah hakikat hal-hal dunia yang bersifat sebentar sahaja.
Tidak dinafikan bahawa tahun 2020 ini dipenuhi dengan cabaran yang berbagai ragamnya.
Bersyukurlah jika perancangan anda sama dengan perancangan Allah untuk anda. Tetapi ada masanya apa yang dimahukan tidak sama dengan apa yang Allah mahukan, kerana di akhirnya Allah jua yang menetapkan sesuatu itu berlaku atau tidak.
Yang kita mampu lakukan hanyalah meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh serta terus berharap agar Allah membawa hidup kita ke jalan yang baik, dan yang paling penting adalah jalan yang diredaiNya.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.