Oleh Natirah Azira • 22 Sep 2020 • 3 min baca
Bagi mereka yang kerja makan gaji, tanggal untuk anda menerima habuan pada bulan ini semakin hampir. Mungkin ada yang telah menyemak baki duit yang masih tinggal dalam akaun bank, cukup atau tidak untuk beberapa hari lagi. Mungkin ada juga yang mencongak-congak sama ada perlu menghulurkan wang kepada ibu bapa atau tidak.
Tarik nafas sebentar. Mungkin untuk gaji pada bulan lepas, tidak banyak yang mampu anda lakukan. Tetapi untuk gaji pada bulan ini, berikut 5 perkara yang perlu diberi perhatian.
Nafkah adalah hal yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki yang sudah berumah tangga. Bagi nafkah dalam bentuk wang, pihak pertama yang perlu diberikan adalah kepada diri sendiri, kemudian isteri dan anak-anak, kemudian barulah ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan barang yang serba mahal, maka jumlah wang yang diperlukan setiap bulan juga bukan sedikit. Orang yang biasa membeli barang dapur biasanya akan tahu hakikat sebenar nilai wang yang ada di tangan dan barang yang boleh dibeli.
Justeru, prihatinlah dengan keperluan nafkah isteri dan anak-anak. Jumlah wang bulanan yang diperlukan 3 tahun dahulu mungkin tidak lagi sama dengan sekarang.
Tidak kira anda seorang yang sudah berkahwin atau belum, usah dilupa keperluan ibu bapa. Meskipun mereka mungkin tidak memerlukan wang anda, tetapi pemberian kepada mereka boleh dianggap sebagai bakti yang diberikan kepada mereka.
Selain itu, tidak salah untuk sekali sekala memberikan hadiah istimewa buat mereka, tidak perlu tunggu tarikh istimewa seperti hari lahir atau ulang tahun perkahwinan mereka.
Hutang adalah perkara yang sangat mustahak untuk diselesaikan kerana bahananya sangat berat jika meninggal dalam keadaan masih lagi memiliki hutang. Kata Rasulullah SAW, roh orang yang mati syahid pun akan tergantung jika dia masih lagi memiliki hutang.
Justeru, semak setiap bulan jika anda masih lagi mempunyai hutang dengan sesiapa. Jangan tunggu hingga orang tersebut meminta.
Zakat adalah kewajipan bagi seorang Muslim. Kewajipan mengeluarkan zakat adalah bagi keperluan umat Islam lain yang memerlukan serta sebagai cara untuk menyucikan harta daripada hal-hal yang syubhah.
Jangan anggap zakat yang wajib dikeluarkan hanyalah zakat fitrah menjelang Syawal sahaja ya. Masih terdapat jenis-jenis zakat lain seperti zakat pendapatan dan zakat harta yang perlu diambil cakna.
Di samping empat perkara di atas, anda boleh peruntukkan juga sejumlah duit untuk disedekahkan ke tabung masjid, peminta sedekah atau badan-badan sukarelawan yang banyak menjalankan aktiviti kebajikan untuk masyarakat yang kurang bernasib baik.
Sedekah tidak akan mengurangkan rezeki bahkan akan menambahkan lagi rezeki.
Allah berfirman dalam Surah Saba, ayat 39 yang bermaksud:
“… apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki” (Surah Saba’ 34:39)
Lima perkara di atas adalah hal yang sangat penting untuk diutamakan setiap kali anda mendapat wang daripada pekerjaan yang dilakukan. Jangan diremehkan salah satunya. Jika ada halangan untuk memenuhi kesemuanya maka dahulukanlah yang lebih utama seperti nafkah dan membayar hutang dahulu kemudian barulah yang lain.
Baca juga:
Mana Lebih Utama – Nafkah Kepada Ibu Bapa Atau Isteri
Mana Lebih Utama – Bayar Zakat Atau Bayar Hutang
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.