Oleh Fizah Lee • 17 Sep 2020 • 2 min baca
Imam Hassan Al-Basri ada berkata – “Jika engkau melihat seseorang melebihimu dalam perkara dunia, maka tandingilah dia dalam perkara akhirat.”
Kata-kata ini terlihat ringkas namun padat dengan mesej yang ingin disampaikan. Kita perlu faham bahawa setiap insan di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Ada orang yang tuhan lebihkannya dalam ilmu agama, ada pula yang tuhan berikan rezeki dan kekayaan buatnya dan ada juga yang tuhan limpahkan anak-anak yang ramai sebagai salah satu saham akhirat yang mengalir buatnya.
Semua itu diberikan Allah kepada hambaNya berdasarkan kemampuan dan juga sebagai ujian untuk seseorang.
Mengapa ia dikatakan ujian? Kerana setiap apa yang dikurniakan itu akan menjadi tanggungjawab kepadanya. Amanah itulah yang perlu dijalani dan ia yang akan menentukan sama ada semakin mendekatkan diri kepada Allah atau sebaliknya.
Apabila kita melihat ada orang yang mempunyai kelebihan tertentu, jangan pula kita dengki atau merasa bahawa dunia ini tidak adil.
Seharusnya, perkara itu menjadi pembakar semangat untuk kita menjadi lebih baik daripada mereka.
Sebagaimana yang dibawakan oleh Imam Hassan al-Basri pada awal entri kali ini, kita sebenarnya mempunyai peluang yang besar dalam memiliki kekayaan di akhirat.
Tidak semestinya kita tidak mempunyai harta atau wang ringgit yang banyak menjadikan kita tidak layak untuk bersedekah.
Kita masih boleh bersedekah dalam bentuk yang lain seperti melemparkan senyuman, mengalihkan batu yang menghalang jalan dan juga menolong ibu bapa di rumah.
Semua itu adalah kebaikan yang tidak memerlukan nilai yang besar tetapi ganjarannya sangat mulia di sisi Allah.
Kita diajar untuk hidup secara kreatif, jadi kita juga boleh beramal dengan kreatif mengikut kemampuan kita sendiri.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.