Oleh Natirah Azira • 14 Sep 2020 • 3 min baca
Ada satu kata-kata yang sentiasa disebut orang apabila bercakap tentang melakukan amal soleh dan bekerja untuk kelangsungan hidup di dunia, iaitu ‘beramal lah seperti akan mati esok hari dan bekerjalah seperti akan hidup selama-lamanya’.
Ia dikhabarkan berasal daripada sebuah kata-kata di bawah:
“Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau hidup selamanya. Beramal lah untuk akhiratmu seakan-akan engkau akan mati esok”
Ada pula ayat yang menyebut dengan lafaz “bekerjalah untuk dunia seolah-olah hidup seribu tahu lagi”.
Ramai yang menyangka bahawa ia berasal daripada pesanan Nabi SAW, walau bagaimanapun para ahli hadis mengatakan bahawa ia bukan hadis.
Seperti kata Syeikh Al-Albani, kata-kata di atas tidak ada dasarnya dari Rasulullah SAW. Ia dikatakan adalah ucapan daripada sahabat yang bernama Abdullah bin ‘Amr bin Al-Ash, serta ada juga periwayatan yang lebih kurang maknanya namun dinilai sangat lemah.
Secara ringkasnya ia seperti menggesa manusia agar berusaha semampu mungkin dalam mendapatkan perkara dunia, tetapi jangan lupakan akhirat. Seolah-olah akhirat menjadi hal yang kedua. Menurut ilmuwan, pemahaman tersebut sedikit menyimpang daripada maksud sebenar.
Bukankah kita digesa supaya bersikap zuhud pada dunia dan mengambil apa yang diperlukan dari dunia, dan tidak bersikap melampau-lampau.
“Carilah dari apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu untuk kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagianmu di dunia…“(Surah Al-Qasas 28:77)
Ia tidak bermaksud perlu bersemangat mencari dunia sehingga mengabaikan urusan akhirat seperti yang dilakukan banyak orang.
Apa yang perlu difahami adalah seseorang itu perlu bersabar dan tidak tergesa-gesa mencari dunia. Jika tidak dapat hari ini, usahalah esok hari. Namun lain dalam urusan akhirat, kita perlu bersegera mengerjakannya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran yang bermaksud:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah Ali-Imran 3:133)
Mungkin ada pula yang menyatakan bahawa ada hadis lain yang menyuruh kita bersegera dalam urusan dunia.
“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” Riwayat Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479)
Tetapi hadis perlu difahami dengan garis panduan para ilmuwan. Hadis ini menurut ulama membawa pemahaman adanya keutamaan dalam mencari rezeki daripada usaha sendiri. Ada pula yang menyebutkan bahawa pentingnya bercucuk tanam kerana ia membawa kebaikan yang banyak kepada manusia dan bumi sendiri.
Banyak terjadi keadaan di mana apabila telah sibuk dengan urusan kerja mencari rezeki, urusan dengan keluarga dan rakan-rakan, kita mengabaikan perintah Allah yang lebih utama. Inilah yang perlu dielakkan.
Kesimpulannya, seimbangkanlah antara urusan kehidupan kita di dunia dalam masa sama berusaha juga sekuat mungkin mengumpulkan bekalan untuk akhirat. Wallahua’lam.
Rujukan:
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.