Inspirasi

Hidup Dalam Keberkatan Tuhan

Oleh Natirah Azira  •  11 Sep 2020  •  2 min baca

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (Surah An Nahl 16: 97)

Mendengar ayat ini saya teringat pesanan daripada Saudara Ebit Liew yang cukup mengesankan sanubari.

“Kita solat bukan sebab kita baik, tapi sebab kita hamba Allah”

Begitu juga dengan firman Allah di atas. Kita beramal soleh bukan untuk mendapat kebaikan dunia, tetapi yang lebih utama kerana kita adalah hamba Allah. Nikmat dan kehidupan baik itu boleh dianggap sebagai anugerah dari kemurahan Allah sendiri.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa Allah masih tak beri kemudahan sedangkan sudah melakukan amal soleh.

Pada hemat saya, kebaikan yang ingin Allah berikan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk – boleh jadi dalam bentuk kesenangan material, dalam bentuk ketenangan hati, keluarga yang bahagia atau kekuatan menghadapi cabaran hidup.

Kebaikan hidup bukan bermakna hal yang indah-indah sahaja tanpa sebarang masalah dan cabaran. Mungkin di sebalik cabaran itu, tanpa kita sedar Allah sedang memberatkan timbangan pahala yang dapat membantu perjalanan di akhirat kelak.

وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“…dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An Nahl 16: 97)

Selain beramal soleh, kita juga disuruh untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah kerana hakikatnya manusia tidak akan sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan. Ia tidak seharusnya menjauhkan diri daripada jalan kebenaran.

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu…” (Surah Hud 11:3)

Yang pastinya kita perlu meyakini bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan kehidupan hambaNya. Hidup akan lebih tenang dan bermakna untuk dilalui seandainya kita mengikut perintah dan larangan Allah dalam masa sama terus-terusan bertaubat kepadaNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami