Oleh Natirah Azira • 10 Sep 2020 • 2 min baca
Macam-macam sunnah yang kita dengar tentang amalan sebelum tidur. Namun penting untuk kita memeriksa asal suatu amalan sebelum mengamalkannya begitu sahaja. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan dakwaan yang berbunyi asing di pendengaran kita.
Dalam topik ‘status hadis’ kali ini, Tzkrh ingin mengupas tentang satu hadis yang mungkin pernah didengari oleh sebahagian daripada kita iaitu tentang pesanan Rasulullah SAW supaya jangan tidur sehingga melakukan 4 perkara; sehingga khatam Al-Quran, sehingga menjadikan para anbiya’ sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat kelak, sehingga menjadikan orang Muslim reda dan sehingga melakukan haji dan umrah.
Ia dipercaya diambil daripada sebuah riwayat bahawa baginda berkata kepada Aisyah R.anha:
Wahai ‘Aisyah jangan kamu tidur sehingga kamu melakukan empat perkara. Sehingga kamu khatam Al-Quran, sehingga kamu menjadikan para anbiya’ sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat kelak, sehingga kamu menjadikan orang muslim redha kepada kamu dan sehingga kamu melakukan haji dan umrah.
Kemudian Nabi SAW masuk ke tempat tidur dan bersolat. Apabila Nabi SAW selesai menunaikan solat Aisyah berkata : Wahai Rasulullah, kamu memerintahkan aku untuk melakukan empat perkara, aku tidak mampu melakukan dalam satu masa yang singkat.
Lalu Nabi SAW tersenyum dan berkata : Jika kamu membaca Qul Huwallahu Ahad tiga kali seakan-akan kamu telah mengkhatamkan Al-Quran. Jika kamu berselawat kepada aku dan kepada para nabi sebelumku maka kami akan jadi pemberi syafaat kepada kamu pada hari kiamat kelak. Jika kamu meminta ampun untuk orang mukmin maka mereka semua akan redha kepada kamu. Jika kamu menyebut : subhanallah, walhamdulillah dan La ilaha Illallah Wallahu Akbar maka kamu telah melakukan haji dan juga umrah.”
Riwayat ini sebenarnya berasal daripada Kitab Durroh An-Nasihin Fi Al-Wa’zhi Wa Al-Irsyad. Sekalipun riwayat ini dijumpai daripada kitab yang dikarang sendiri oleh ilmuwan, ia tidak menjadikannya satu riwayat yang sahih. Boleh jadi statusnya tidak benar-benar diperincikan.
Setelah merujuk kepada pihak Mufti Wilayah Persekutuan, mereka juga menyatakan bahawa riwayat ini tidak disebutkan dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Riwayat itu juga disebut tanpa sanad justeru membesarkan lagi keraguan yang ada.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa membaca Surah Al-Ikhlas ketika tidur adalah sunnah dan amalan yang digalakkan, serta memang ada riwayat sahih yang menyebutkan bahawa surah ini sebanding dengan sepertiga Al-Quran. Anda juga boleh merujuk artikel ini untuk mengetahui amalan sunah lain yang boleh dilakukan sebelum tidur.
Rujuk:
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.