Saya ada melihat sebuah perkongsian yang diberikan oleh beberapa orang artis kita yang telah memilih untuk melakukan perjalanan hijrah.
Memilih jalan yang lebih diredai tuhan membuatkan mereka berasa lebih tenang dengan kehidupan yang dilalui. Walaupun masih lagi meneruskan kerjaya dalam industri tersebut, namun batas-batas tetap dijaga dan itulah yang membuatkan ketenangan menghampiri mereka sedikit demi sedikit.
Apabila berbicara mengenai gusar tentang dosa, rasanya rata-rata yang telah melakukan perjalanan hijrah pastinya akan memberikan komen yang sama.
Mereka mula berkongsi tentang ketenangan hidup yang dilalui kerana sudah mula meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.
Kenapa orang yang mula berubah akan dilanda dengan perasaan tersebut? Setiap kali kita mula mencari tuhan, pasti Allah akan hadirkan sebuah perasaan yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata kerana ia adalah ketenangan yang sukar dirasai.
Walaupun perjalanan untuk berubah itu mempunyai banyak liku yang perlu diharungi dan Allah akan melemparkan pelbagai lagi ujian untuk mengukuhkan keimanan anda, namun perasaan tenang dan percaya dengan apa yang ditakdirkan Allah itu pasti akan membantu anda melalui perjalanan hijrah itu.
Hal ini sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Nawas bin Sam’an, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan keburukan (dosa) adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa. Ketika keburukan itu dilakukan, tentu engkau tidak suka akan hal itu diperlihatkan di tengah-tengah manusia.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2553)
Yang paling penting adalah sentiasa cuba untuk istiqamah dengan jalan yang dipilih sebab Allah amat menyukai hambaNya yang istiqamah walaupun dengan perkara yang kecil.
Dosa itu adalah perkara buruk dan ia akan membuatkan hati kita lebih gelisah terutamanya apabila kita mengetahui akan hakikatnya sebagai sebuah dosa.
Apabila kita melakukan dosa, akan tercatatlah satu titik hitam di hati kita dan itulah yang akan menutup hati kita sedikit demi sedikit daripada cahaya keimanan.
Disebabkan itu, kita ditutuntut untuk bertaubat dan sentiasa beristighfar agar dapat menghilangkan titik hitam tersebut dan memberi ketenangan kepadanya.
Maksud: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya.” (Hadis Riwayat Nasai, no. 11594)
Justeru, apabila hati anda mula rasa gelisah, periksa kembali diri dan perbuatan anda, mungkin ada dosa atau kesilapan yang dilakukan tanpa sedar.
Kemudian, bertaubatlah kepada Allah dalam pelbagai cara yang boleh seperi beristighar, melakukan solat sunat taubat mahupun memperbanyakkan amalan kebaikan.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.