Oleh Natirah Azira • 7 Sep 2020 • 4 min baca
Kerap kali kita merasakan bahawa kita mempunyai banyak masa untuk berbuat apa sahaja yang kita suka. Atau banyak kali juga kita bertangguh daripada melakukan perkara yang kita perlu lakukan kerana menyangka ia boleh dilakukan nanti, esok, minggu depan atau masa-masa akan datang.
Kita ingin bersedekah tetapi kerap membatalkan niat. Kita ingin pulang menziarahi ibu bapa di kampung, tetapi menangguhkan sehingga berlalu beberapa bulan. Kita ingin bersenam untuk menjaga kesihatan, tetapi masih beralasan dengan pelbagai perkara.
Hakikatnya tidak ada siapa tahu berapa banyak masa lagi masa yang mereka ada. Kerana itu Rasulullah SAW pernah berpesan agar beramal sebelum datang 7 perkara ini:
Jika dilihat sekarang, keadaan hidup semakin mendesak dan mencengkam. Ramai yang terkesan dengan musibah Covid-19 sehingga ada yang hilang pekerjaan dan terjejas punca pendapatan.
Tanpa sedar, ia sebenarnya ujian seperti yang disebutkan dalam hadis di atas. Kefakiran dan kesusahan akan menyebabkan kita lebih kesempitan masa kerana fokus dan usaha banyak dihabiskan kepada mencari wang bagi menampung kehidupan.
Dan jika tidak dijaga niat sebaiknya, tidak mustahil untuk seseorang itu meninggalkan ibadah kerana mengejar masa, malah fokus dalam ibadah juga terkesan kerana minda memikirkan apa lagi yang perlu dilakukan untuk mencari wang.
Ada juga orang yang semakin menempa nama serta kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi. Ia juga boleh menjadi ujian jika tidak dilakukan muhasabah dari semasa ke semasa.
Tidak sedikit orang yang berubah menjadi sombong dan angkuh kerana merasakan bahawa segala kekayaan yang didapati adalah daripada titik peluhnya sendiri. Akhirnya, sikap itu menjauhkannya daripada beramal soleh.
Penyakit juga mampu menyukarkan seseorang daripada melakukan amal soleh. Banyak cerita yang kita dengar daripada ruang sakit hospital, berapa kerat sahaja yang menunaikan solat apabila ditimpa sakit.
Surau dan masjid pula pasti tidak lagi dapat dikunjungi seperti waktu sihat. Alangkah rugi bukan jika tidak dimanfaatkan ruang dan peluang untuk beribadah ketika masih sihat.
“Beramal lah sewaktu muda, jangan tunggu waktu tua”
Begitu kita diingatkan. Kerana apabila keadaan sudah tua, kudrat sudah tidak sekuat ketika muda. Malah banyak pula penyakit yang akan datang.
Itu belum ditambah kebarangkalian untuk mendapat penyakit nyanyuk yang membuatkan seseorang mudah lupa banyak perkara. Bacaan Quran tidak lagi lancar, malah untuk membaca Al-Fatihah dalam solat juga mencabar.
Berdoalah agar kita dijauhkan daripada ujian tidak dapat lagi beribadah dengan sempurna di usia tua.
Kematian menjengah tidak kira masa, tidak kira muda atau tua, tidak kira sakit atau sihat. Maka bersegeralah melakukan amal soleh sekarang, bukan menangguh-nangguh dan menunggu apabila diri terasa bersedia.
Sebagai seorang Muslim, kita beriman dan percaya bahawa Dajjal itu makhluk yang akan ada di akhir zaman. Diwujudkan sebagai ujian terakhir buat manusia sama ada memilih kebenaran atau kesesatan.
Jika pada zaman berleluasanya fitnah sekarang pun, kita kadang-kadang terkeliru untuk memilih antara kebenaran dan kebatilan, pasti kita tidak dapat membayangkan ujian yang dibawa Dajjal ketika itu. Allah menjadikan dia mampu menurunkan hujan dan membuat berbagai tipu daya.
Akhir sekali, akan tibalah hari kiamat untuk mengakhiri kehidupan seluruh makhluk yang pernah hidup. Ia seberat-berat hari di mana digambarkan dalam Al-Quran bahawa seorang ibu yang mengandung akan keguguran, yang menyusui anak akan meninggalkan anak dan masing-masing dalam keadaan kacau bilau.
Ia waktu orang hanya berfikir untuk menyelamatkan diri dan tidak lagi ingin melakukan amal soleh.
Kita mungkin tidak sempat untuk merasai kesemua ujian tersebut. Namun, tanpa sedar kita mungkin sedang diuji juga dengan sebahagian daripadanya. Kita memilih untuk membiarkan diri lalai dengan kesihatan dan kelapangan masa tanpa cuba untuk memperbaiki amal supaya menjadi lebih baik.
“Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar.” (HR Tirmizi, no. 2306 – Status Hadis Sahih)
Beringatlah lebih awal agar kita tidak menyesal kelak. Sesungguhnya masa, kelapangan, kesenangan serta apa yang kita miliki sekarang boleh menjadi nikmat untuk memudahkan kita beramal atau ujian untuk melalaikan. Kitalah yang menentukan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.