Site icon Tazkirah

Bolehkah Isteri Bersedekah Menggunakan Harta Suami

Kita sering dengar orang menyebut, duit suami adalah duit isteri. Justeru isteri mempunyai sebahagian hak ke atas duit suami.

Jika suami tidak menunaikan nafkah atau kedekut, maka isteri boleh mengambil sedikit duit suami sebagai memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Sebagaimana kisah yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah. Suatu hari, Hindu binti ‘Utbah, iaitu isteri kepada Abu Sufyan telah datang menemui Rasulullah untuk mengadu perihal suaminya.

Maksud: “Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku salah? Sabda Rasulullah: “Ambillah daripada hartanya dengan yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2211)

Jadi, dibolehkan mengambilnya asalkan yang mencukupi keperluan dan bukanlah melebih-lebih. Tetapi, ada juga isteri yang suka mengambil duit suami dengan niat untuk disedekahkan.

Baginya, sedekah itu adalah perkara yang mulia dan boleh sahaja dilakukan dengan menggunakan duit suaminya.

Namun, di sini perlu dilihat bahawa wang suami adalah hak suami yang perlu diminta izin untuk digunakan jika ia bukan untuk hal-hal keperluan.

Walaupun sedekah itu merupakan perkara yang mulia, tetapi ia perlu dilakukan berdasarkan keizinan seseorang jika bukan menggunakan wangnya.

Adapun, jika si suami mengizinkan isterinya untuk melakukan demikian, maka pahala itu juga akan sampai kepada suaminya.

Sedekah itu dilakukan oleh isterinya, namun menggunakan wang suaminya. Maka, kedua-dua mereka akan mendapat ganjaran yang disediakan oleh Allah.

Sebagaimana Saidatina Aisyah berkata Baginda SAW bersabda;

Maksud: “Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya, maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 671. Dinilai hasan oleh Imam Tirmizi)

Kesimpulan

Justeru, dapat kita faham di sini, walaupun wang itu diniatkan ke arah kebaikan, namun isteri perlu meminta izin dahulu daripada suaminya untuk menggunakan wang tersebut.

Bimbang jika diambil hak tanpa izin, ia akan berubah menjadi perbuatan yang tidak diredai.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

Exit mobile version