Umum mengetahui, doa seorang ibu itu tidak boleh dipandang remeh. Doa mereka amat makbul, walau cepat atau lambat, jika diizinkan tuhan, ia pasti akan dimakbulkan.
Disebabkan itu, sebagai manusia yang menggalas tugas sebagai seorang anak, menghormati dan mentaati mereka merupakan salah satu perkara wajib yang perlu dilakukan.
Walau bagaimanapun, kadang-kadang wujud kekeliruan antara tuntutan agama atau ibu bapa, mana satu yang ingin diutamakan?
Contohnya, jika kita sedang menunaikan solat sunat, kemudian ibu anda memanggil nama anda. Jadi, apa yang perlu dilakukan? Adakah meneruskan solat atau menyahut seruan itu?
Jumhur ulama berpandangan bahawa menyahut seruan ibu adalah lebih utama kerana ibu wajib didahulukan berbanding dengan solat sunat tersebut.
Sebagaimana ada sebuah kisah yang telah diceritakan mengenai Juraij yang telah didoakan keburukan oleh ibunya kerana tidak menyahut seruannya. Bahkan, diceritakan bahawa doa tersebut telah dimakbulkan dan Juraij sedar akan kesilapannya.
Daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW telah menyampaikan kisah mengenai Juraij;
Maksud: “Juraij adalah seorang yang sangat kuat beribadat di sebuah ruang khusus untuk ibadat. Pada suatu hari, ibunya datang ketika dia sedang solat. Humaid (perawi hadis ini) berkata; ibu Juraij ketika memanggil anaknya dengan meletakkan tapak tangan pada keningnya dan mengangkat kepalanya seraya memanggil: “Wahai Juraij, ini ibumu. Bercakaplah denganku.”
Ibunya mendapati Juraij sedang solat dan Juraij bertanya di dalam hatinya: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat.” Dia kemudian memilih untuk meneruskan solat, lalu ibunya pula datang lagi untuk kali kedua; “Wahai Juraij, ini ibumu. Bercakaplah denganku.” Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat.” Dia kemudian memilih untuk terus solat. Sehinggalah untuk kali ketiga ibunya datang dan Juraij masih memilih untuk meneruskan solat.
Ibunya berkata: “Ya Allah, Juraij ini anakku. Aku ingin bercakap dengannya tetapi dia enggan kerana sedang solat. Ya Allah, jangan Engkau tarik nyawanya sehingga dia berjumpa (digoda oleh) pelacur.” Jika sekiranya ibunya mendoakan balasan buruk ke atas Juraij, nescaya dia akan ditimpa balasan buruk tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2550)
Berdasarkan hadis ini juga disebut bahawa doa ibunya dimakbulkan. Juraij sehingga difitnah oleh pelacur dan tempat ibadatnya dibakar oleh Raja. Kemudian, barulah dia menyedari bahawa ia adalah akibat daripada doa ibunya terhadapnya.
Apa pengajaran yang dapat kita lihat melalui kisah ini? Tentunya suruhan dalam berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak membiarkan mereka terasa hati dengan anda.
Walaupun ia adalah ibadah sunat, ulama berpendapat bahawa wajib untuk menyahut seruan tersebut. Jika dalam keadaan solat wajib pula, perlu dilihat kepada situasi.
Jika si ibu mudah berkecil hati, maka boleh membalas sahutan ibu tersebut atau menguatkan bacaan bagi menandakan bahawa anda sedang solat. Kemudian, apabila selesai solat, bolehlah bersegera mendapatkan ibu anda agar panggilan tersebut tidak tergantung.
Jadi, yang paling penting ialah jadilah anak yang baik dan sentiasa ada untuk ibu bapa anda. Taati mereka walau dalam apa jua keadaan. Jangan dipandang ringan walau sekadar panggilan mereka kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada kehidupan anda.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.