Gaya Hidup

Tersekat Di Qonthoroh Untuk Urusan Yang Belum Selesai Di Dunia

Oleh Natirah Azira  •  5 Aug 2020  •  3 min baca

Kita mungkin pernah mendengar tentang titian sirat yang akan dilalui oleh manusia di akhirat kelak. Namun pernahkah kita mendengar tentang Qonthoroh?

Ada beberapa tempat yang akan dilalui oleh manusia di akhirat kelak antaranya adalah padang Mahsyar, Mizan, Titian Sirat, dan Qonthoroh adalah yang terakhir. Qonthoroh adalah tempat di mana manusia akan menyelesaikan segala perkara yang masih tidak selesai lagi dengan manusia lain di dunia.

Ulama berbeza pandangan dalam menerangkan tentang Qonthoroh ini, sama ada ia adalah bahagian hujung sirat atau jambatan lain sesudah jambatan sirat. Menurut hadis, sirat adalah jambatan yang terbentang di atas neraka, manakala Qonthoroh pula terletak selepas itu antara neraka dan syurga. Seseorang itu perlu melalui Qonthoroh terlebih dahulu sebelum dapat memasuki syurga.

Apa Yang Berlaku Di Qonthoroh?

Di Qonthoroh, akan diadakan semula perhitungan (hisab) bagi menyelesaikan segala permasalahan yang masih tergantung di kalangan manusia. Di sini, mereka akan saling menebus kesalahan dan kezaliman yang pernah berlaku hatta sekecil-kecil perkara sehingga tidak ada lagi tersisa sebarang rasa dendam dan kebencian.

Allah menyebut dalam Surah Al-‘Araf, ayat 43, yang bermaksud,

“Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka, mereka masuk ke dalam syurga yang mengalir di bawah mereka sungai-sungai. (Surah Al-‘Araf 7:43)

Ia akan diselesaikan seadil-adilnya di persidangan Allah di Qonthoroh. Inilah yang akan menakutkan setiap orang. Bayangkan kita telah selesai diadili di hadapan Allah atas dosa-dosa yang dilakukan kepadaNya, sedikit lagi akan sampai ke syurga namun kerana banyak kesalahan yang dilakukan kepada manusia, akhirnya hilang segala bekal amalan pahala.

Abu Saíd Al Khudriy r.anhu menceritakan sabda Nabi SAW yang menjelaskan peristiwa yang terjadi di Qonthoroh:

يخلص المؤمنون من النار فيحبسون على قنطرة بين الجنة والنار، فيقص لبعضهم من بعض مظالم كانت بينهم في الدنيا، حتى إذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة، فوالذي نفس محمد بيده لأحدهم أهدى بمنزله في الجنة منه بمنزله كان في الدنيا

“Orang-orang beriman yang telah selamat dari neraka (setelah melewati Shiroth) akan tertahan di Qonthoroh (sebuah jambatan) di antara syurga dan neraka. Kemudian ditegakkanlah qisos terhadap sebahagian mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sungguh salah seorang di antara mereka lebih faham terhadap tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.” (HR. Bukhari, no.6535)

Apa Yang Digunakan Untuk Menebus Kezaliman?

Jika seseorang itu berhutang, maka bayarannya adalah dengan wang atau suatu yang berharga. Namun jika hutangnya adalah kezaliman yang telah dilakukan kepada manusia lain, maka pahala lah yang akan digunakan untuk melangsaikannya. Itulah yang akan terjadi di Qonthoroh kelak.

Namun para ulama berpandangan bahawa pemasalahan yang akan diselesaikan di Qonthoroh bukan seperti di padang Mahsyar. Persidangan di situ adalah lebih khusus dan halus yang bertujuan mengikis segala kedengkian, dendam dan kebencian yang masih bersisa dalam hati manusia. Ia diibaratkan seperti fasa penjernihan jiwa yang terakhir sebelum memasuki syurga.

Sumber:
Konsultasi Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami