Gaya Hidup, Ibadah

Istighfar Pun Boleh Memberi Ketenangan?

Oleh Fizah Lee  •  4 Aug 2020  •  2 min baca

Selalunya kita dengar, salah satu cara untuk menghapuskan dosa adalah dengan melazimi istighfar. Ia adalah salah satu perbuatan meminta maaf dan memohon keampunan dari Allah atas segala dosa yang dilakukan.

Astagfirullah sendiri membawa maksud – “aku meminta keampunan Allah.” Sebab itulah, ia dikatakan salah satu cara yang paling mudah untuk dilakukan dalam usaha kita memohon ampun kepada Allah.

Bukan itu sahaja, sebenarnya banyak kelebihan yang akan diperoleh oleh seseorang yang rajin melazimi istighfar. Salah satunya adalah dapat menenangkan hati.

Terdapat sebuah hadis yang menyebut mengenai perihal ini;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِب

Maksud: “Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melazimi membaca istighfar, Allah akan menjadikan dari setiap kesedihan, kelonggaran dan dari setiap kesempitan jalan keluar dan memberi rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3809)

Bukan zikir sahaja yang boleh memberi ketenangan, namun juga istighfar. Dengan beristighfar, dosa-dosa kecil kita terampun. Jadi, apabila beban dosa dirasakan berkurangan, itulah yang boleh menghadirkan ketenangan di hati.

Perasan atau tidak, apabila kita berzikir atau istighfar, itu merupakan salah satu cara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini kerana, kalimah-kalimah tersebut merupakan salah satu kalimah perhambaan yang secara tidak langsung boleh mengajar kita bahawa Allah ialah pemilik hati dan Dialah yang memegang hati kita.

Disebabkan itulah, dengan istighfar dapat membantu memberi ketenangan kepada hati kita. Kita bukan sahaja memohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa yang lalu, namun dalam masa yang sama kita juga meminta agar Allah memberikan ketenangan kepada kita.

Jadi, apabila dilanda kesusahan atau masalah yang terlalu menyerabutkan kepala, boleh sahaja diamalkan istighfar.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami