Pernahkah apabila hati terasa sesak dan serabut, dengan menyebut nama Allah sahaja keserabutan tadi terasa sedikit berkurang. Ada hal-hal yang masih tidak pasti, yang membimbangkan dan yang mencuri fokus kita pada masa sekarang, namun bukankah hidup kita ini diikat pada aturan dan tadbir Tuhan?
Apa sahaja yang pasti?
Bukankah yang kita ada hanya saat ini sahaja. Ya, saat anda membaca kata-kata saya ini, waktu ini sahaja yang pasti. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi beberapa ketika lagi.
Rasa bimbang yang berlebihan akan mencuri fokus dan kebahagian pada masa sekarang. Kata seorang teman, kita bukan menafikan (deny) bahawa kita ada masalah dan berpura-pura gembira, namun kita menerima bahawa masalah itu ada dan akan menguruskannya walau dengan apa jua cara.
Itulah bezanya orang yang dalam keadaan denial dan terlihat gembira dan juga orang yang positif dan optimis dengan masalah yang dihadapi.
Golongan yang pertama adalah orang yang hanya menolak masalah ke tepi dan tidak mahu menguruskannya, berlainan dengan orang yang cuba memahami masalahnya, apa puncanya dan kemudian memikirkan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasinya atau sekurang-kurangnya meminimakan.
Konflik atau masalah akan selalu datang. Habis satu masalah, akan timbul masalah baru yang menuntut untuk diselesaikan. Justeru, usah terlalu risau dan bimbang. Ketidakpastian adalah hal yang sentiasa ada dalam kehidupan. Andai kita hanya menumpukan perhatian kepada ketidakpastian, maka kita akan selalu berkeluh kesah dan tidak menikmati kehidupan.
Di akhirnya mari kita hayati kisah Nabi Ibrahim dalam Surah Al-Hijr, ayat 55 yang bercerita tentang larangan berputus asa. Nabi Ibrahim dikunjungi malaikat lalu dikhabarkan kepada baginda bahawa baginda akan mendapat seorang anak lelaki sungguhpun usianya telah lanjut.
Nabi Ibrahim berkata: “Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?”
Mereka menjawab: “Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa“.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.