Inspirasi

Mengapa Dilarang Menolak Pemberian Minyak Wangi

Oleh Natirah Azira  •  22 Jul 2020  •  3 min baca

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku…” (Surah Ali Imran 3:31)

Apabila kita mengatakan bahawa kita mencintai Allah dan ingin taat padaNya, maka buktinya adalah dengan mengikuti suruhan baginda Rasulullah SAW. Bukan sahaja melalui apa yang disampaikan daripada wahyu Al-Quran, tetapi merangkumi juga sunnah yang dibawa oleh baginda sama ada melalui ucapan atau perbuatan.

Diutuskan baginda sebagai contoh teladan yang paling baik dalam kalangan umat manusia. Baginda mengajarkan kepada kita tentang adab, apa yang wajar dalam pergaulan dengan manusia, kehormatan serta kasih sayang sesama manusia.

Antara sunnah yang umum diketahui adalah memakai minyak wangi bagi lelaki, namun pernahkan anda mendengar tentang sebuah saranan supaya tidak menolak pemberian minyak wangi?

Ya, sebenarnya ada tiga benda yang tidak boleh ditolak apabila diberi, iaitu bantal alas duduk, minyak wangi dan susu. Ia bersandarkan kepada sebuah hadis hasan.

Dari Ibnu Umar r.anhuma, Nabi SAW bersabda,

ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ الْوَسَائِدُ وَالدُّهْنُ وَاللَّبَنُ

“Ada tiga hal yang tidak boleh ditolak, bantal untuk duduk, minyak wangi, dan susu.” (HR. Turmudzi, no. 3020, al-Baghawi no. 3173 – Dihasankan oleh al-Albani)

Menurut ahli hadis, hadis di atas boleh difahami daripada dua sudut.

#1- Menggambarkan Anjuran Berwangi-wangian

Pertama, larangan menolak minyak wangi adalah bermakna perintah untuk selalu menggunakannya (bagi lelaki), kerana boleh sentiasa bersedia untuk beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT. Sesungguhnya berwangi-wangian ketika beribadah adalah sunnah yang selalu dilakukan oleh baginda sendiri.

Al Hafiz Ibnu Hajar menukilkan keterangan daripada Ibnu Batthal bahawa Nabi SAW tidak pernah menolak minyak wangi kerana baginda ingin menjaga keadaan badan agar sentiasa bersedia untuk bermunajat kepada Allah.

#2- Untuk Menjaga Hati Pemberi

Kedua, tegahan supaya tidak menolak pemberian-pemberian ini adalah untuk menjaga hati orang yang memberi kerana ketiga-tiga perkara tersebut adalah hal yang kecil dan ringan sehingga tidak patut ditolak.

Ia adalah budaya pada zaman itu di mana tuan rumah akan memberikannya kepada tetamu sebagai satu bentuk penghargaan. Minyak wangi pada masa itu mungkin ada daripada jenis yang murah tetapi bermanfaat. Tuan rumah tidak perlu mengeluarkan modal yang banyak dan memberikan hadiah besar yang lain seperti binatang ternakan atau barangan.

Dari Abu Hurairah r.anhu, Nabi SAW bersabda,

مَنْ عُرِضَ عَلَيْهِ طِيبٌ فَلاَ يَرُدَّهُ فَإِنَّهُ خَفِيفُ الْمَحْمَلِ طَيِّبُ الرَّائِحَةِ

“Siapa yang ditawari minyak wangi, janganlah dia menolaknya. Kerana minyak wangi itu ringan diterima, dan baunya harum.” (HR. Ahmad no.8264, Nasai no.5276 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)

Hikmah daripada hadis ini juga memberitahu kita supaya tidak menolak hadiah secara umum. Hal ini kerana, meskipun hadiah itu murah, tetapi dengan menerimanya hubungan erat mampu dijaga.

Walau bagaimanapun, larangan menolak ketiga-tiga pemberian tersebut adalah larangan yang bersifat makruh sahaja dan bukan haram. Ibnu Abdil Bar berpendapat bahawa jika ada alasan yang kukuh untuk menolak pemberian minyak wangi, contohnya kerana mempunyai alahan atau alergi terhadap minyak wangi kerana bau yang kuat, maka dibolehkan menolak secara baik. Wallahua’alam.

Rujukan:
1. Mufti Wilayah Persekutuan
2. Konsultasi Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami