Apabila bercakap tentang soal keimanan dalam Islam, ia tidak seharusnya disempitkan dengan pemahaman tentang ibadah kepada Allah semata-mata. Allah telah mentakdirkan kita untuk hidup di dunia, maka sudah pasti kerukunan hidup bermasyarakat serta hubungan sesama manusia itu perlu dijaga agar keharmonian terpelihara.
Antara amalan yang boleh mengeratkan hubungan persaudaraan adalah kunjung-mengunjungi dan bertanya khabar.
Manakala menyambut dan memuliakan tetamu pula adalah amalan yang sangat dipelihara dalam Islam. Sebaik-baik layanan perlu diberikan selama tiga hari jika tetamu menginap di rumah manakala selepas itu ia dikira sebagai sedekah. Dalam masa sama, tetamu pula perlu menjaga adab-adab sebagai tetamu.
Pernah juga kita mendengar bahawa kedatangan tetamu membawa rezeki, manakala pemergian tetamu membawa keluar pelbagai bencana dan terhapusnya dosa.
“Apabila ada tamu yang masuk ke sebuah kampung maka dia masuk dengan membawa rezekinya, dan ketika tamu ini keluar, dia keluar dengan membawa ampunan dosa-dosa mereka.”
Walau bagaimanapun, hadis ini dinilai marfu’ dan sanadnya dhaif.
Hadis lain yang lebih kurang sama ialah hadis berikut:
“Jika ada tamu yang masuk ke dalam rumah seorang mukmin maka akan masuk bersama tamu itu seribu berkah dan seribu rahmat. Allah akan menulis untuk pemilik rumah itu pada setiap kali suap makanan yang dimakan tamu seperti pahala haji dan umrah.”
Menerusi ulasan daripada Ustaz Amni Nur Baits dalam laman web Konsultasi Syariah, menerusi keterangan dalam fatwa Syabakah Islamiyah, hadis ini juga palsu dan tidak dijumpai dalam kitab-kitab hadis yang ada dalam masyarakat.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak menafikan anjuran memuliakan tetamu. Mukmin yang melayan baik saudaranya yang lain sudah pasti akan dibalas Allah dengan kebaikan yang lebih berganda. Dalam sebuah hadis sahih, pertemuan dua Muslim yang saling berjabat tangan dan mengucapkan salam, maka akan bergugurlah dosa-dosa.
Sungguhpun amalan memuliakan tetamu sangat dipentingkan dalam Islam, namun kita perlu juga berhati-hati dalam menyebarkan dalil yang menjadi sandaran. Hal yang tidak didasari riwayat yang sahih dan dalil yang jelas mestilah dielakkan.
Rujukan:
KonsultasiSyariah

