Apabila melihat seorang wanita yang bergelar isteri menayangkan kecantikannya dengan mendedahkan aurat atau ada yang melakukan kesalahan, pasti bukan sahaja namanya yang disalahkan namun sedikit sebanyak terpalit juga nama suaminya.
Katanya – “Ni mesti suami tak pandai jaga. Nanti dosa isteri tu, suami juga yang tanggung.”
Dan berbagai-bagai lagi tohmahan serta kata negatif yang turut membabitkan suami. Kalau sebelum berkahwin, ada juga yang menyebut bahawa si ayah yang akan menanggung dosa si anaknya.
Jadi, adakah pemahaman yang menular dalam masyarakat kita ini benar dan boleh dijadikan sebagai alat untuk menakutkan kaum lelaki agar dapat menjaga isterinya dengan lebih baik?
Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada dua perkara, iaitu;
#1 – Yang pertama ialah dosa seseorang manusia itu ditanggung oleh diri sendiri. Kita dapat melihat bahawa Allah telah merakamkan hal ini melalui dalilnya yang bermaksud:
Mafhum: “(Dalam kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53:38-39)
Justeru, apabila kita melakukan dosa, maka ia hanya akan ditangung oleh diri sendiri. Begitu juga pahala. Jadi, di akhirat kelak diri sendiri yang akan dipertanggungjawabkan di atas setiap perbuatan yang dilakukan.
Namun, ia boleh jadi sebaliknya jika kita tidak menegur kesalahan seseorang itu sedangkan kita tahu bahawa ia adalah salah.
Bukankah setiap perbuatan kita di dunia ini adalah saling berkait dan mengikut kepada amar makruf nahi mungkar, iaitu menyeru ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran.
Justeru, cegahlah kemungkaran tersebut sama ada dengan kuasa yang ada, dengan lisan atau di dalam hati, iaitu cuba untuk menghalang diri sendiri daripada melakukannya.
#2 – Yang kedua ialah, kita melihat kepada tugas dan tanggungjawab suami yang sepatutnya menjadi pelindung kepada seorang isteri dan juga keluarganya.
Melindungi itu bukan sahaja daripada bahaya malapetaka, namun juga berkait dengan melindunginya daripada melakukan dosa.
Jika si isteri lalai, tidak sedar akan kesalahannya, terlupa atau tidak tahu, maka suaminya juga memainkan peranan yang besar dalam menasihati isterinya.
Jika si suami tahu akan kesalahan tersebut namun lebih memilih untuk mendiamkan diri dan membiarkan sahaja keadaan tersebut, maka sebahagian ulama berkata bahawa dosa tidak menegur isterinya itu akan ditanggung olehnya. Namun, dosa isteri yang tidak menutup aurat itu hanya ditanggung oleh isteri tersebut.
Kesimpulan
Tuntasnya, pemahaman kita mengenai dosa isteri yang ditanggung suami itu adalah salah. Suami hanya menanggung dosa tidak menegur isterinya sahaja. Manakala, dosa penuh tidak menutup aurat itu adalah ditanggung oleh wanita tersebut semata-mata.
Oleh itu, para suami sepatutnya menjalankan tanggungjawab menjaga dan melindungi isteri dengan baik agar rumah tangga yang dibina akan menjadi harmoni berlandaskan syariat.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah

