Mengirim salam sudah menjadi budaya dan kebiasaan dalam kalangan kita terutamanya apabila tidak dapat menghadiri undangan atau sudah lama tidak bersua dengan seseorang.
Ia bukan hanya budaya kita, namun ia merupakan salah satu cara Islam yang diamalkan bagi menggantikan diri kepada orang lain apabila tidak dapat bersua.
Baginda SAW pernah menerima kiriman salam dari seorang sahabat melalui anak lelaki sahabat tersebut;
Maksud: “Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.” Lalu, Baginda SAW menjawab: “Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2936)
Bagi orang yang sudah diamanahkan untuk menyampaikan salam tersebut dan sanggup (mampu) melakukannya, maka wajib ke atasnya untuk menyampaikan kepada orang yang dikirim.
Namun, buat mereka yang mendapat kiriman salam ini, adakah wajib ke atas mereka untuk menjawabnya? Dalam hal ini, rata-rata daripada kita berpendapat bahawa tidak wajib menjawabnya kerana ia sekadar kiriman dan tiada bentuk ucapan khusus yang diungkapkan.
Ia adalah pemahaman yang salah. Hal ini kerana, salam jenis ini juga adalah wajib dijawab meskipun tiada ungkapan yang disertakan.
Hal ini ada dijelaskan melalui Imam Nawawi – “Maka, apabila seseorang memanggil dari belakang dinding atau seumpamanya dengan berkata: “al-Salam ‘alaik, wahai fulan” atau seseorang menulis surat dan memberi salam di dalamnya kepada penerima surat atau seseorang mengutuskan seorang utusan dengan katanya: “Sampaikanlah salamku kepada fulan,” maka, apabila sampai kepada orang tersebut surat atau orang utusan, wajib ke atas orang tersebut menjawab salam dengan segera.“ (Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/592)
Dalam hal ini, disunatkan juga ke atas orang yang dikirimkan salam untuk membalas kiriman tersebut kepada si penyampainya dengan ucapan;
Maksud: “Ke atas kamu (utusan yang membawa salam) dan ke atas dia (yang menyampaikan salam) keselamatan, rahmat dan keberkatan dari Allah jua.”
Tuntasnya, dapat kita faham di sini bahawa menjawab salam itu adalah wajib sama ada ia dalam bentuk lisan, tulisan mahupun melalui kiriman orang.
Dan sunat juga ke atas kita untuk menjawab salam bersama dengan ucapan kepada si pemberi salam.
Wallahu a’alam.
Baca juga:
Wajibkah Menyampaikan Salam Yang Dikirim
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.