Oleh Natirah Azira • 6 Jul 2020 • 3 min baca
Zaman sekarang adalah zaman di mana maklumat tersebar dengan sangat cepat, tidak kira maklumat yang benar atau salah. Lebih menyedihkan apabila ilmu agama turut tidak terlepas daripada terpalit dengan kesan teknologi dan budaya penyebaran tanpa batas di media sosial ini.
Salahnya bukan pada internet atau kemudahan teknologi, salahnya adalah pada umat Islam yang sangat bermudah-mudah, tidak teliti dan tidak berhati-hati ketika menyebarkan ilmu agama mahupun mengambil ilmu agama.
Imam besar dalam Islam, Imam Muhammad bin Sirin pernah mengucapkan,
“Sesungguhnya ilmu agama (yang kamu pelajari) adalah agamamu (yang akan membimbingmu meraih ketakwaan kepada Allah), maka telitilah dari siapa kamu mengambil (ilmu) agamamu.”
Bermaksud, jangan mengambil ilmu agama daripada sembarangan orang kecuali jika telah diyakini bahawa dia adalah ahli dalam ilmu tersebut dan sesuai untuk menjadi tempat mengambil ilmu.
Jika seseorang itu ditimpa sakit yang parah, maka doktor pakar dan berpengalaman tentang penyakit tersebut akan dirujuk bagi mendapatkan rawatan. Jika kenderaan pula rosak, maka mekanik yang diketahui pandai membetulkan kerosakan tertentu akan dicari untuk memberikan servis terbaik.
Seharusnya begitu juga dalam hal ilmu agama. Seorang ustaz atau ustazah itu dirujuk bukan kerana dia kelihatan alim, lucu, pandai melawak, atau petah berkata-kata. Namun kerana dia diketahui pakar dalam bidang ilmu tersebut, atau seseorang itu menuntut ilmu daripada orang yang dipercayai.
Dalam hal ini, perlu juga beringat bahawa mereka yang tahu bidang Qiraat bacaan Al-Quran, tidak semestinya dia tahu ilmu hadis dan Al-Quran.
Orang yang tahu bidang hadis dan Al-Quran, tidak semestinya tahu tentang ilmu dakwah dan perbandingan agama.
Orang yang tahu tentang ilmu dakwah pula tidak semestinya tahu tentang fiqh dan hukum hakam.
Kerana hal ini tidak difahami, maka terjadilah komen-komen sebegini,
“Oh hadis ni saya dengar daripada ustaz A, tak sangka pula tak sahih”
Jadi usah hanya mengambil seratus peratus daripada apa yang didengari. Amalkan sikap menapis maklumat sebelum menerima dan menyebarkan. Sikap hati-hati juga akan mengelakkan diri kita daripada terlalu ekstrem dengan pendapat sebahagian pihak lalu mempertahankan sosok yang kita kagumi sahaja.
Ilmu agama merangkumi pecahan bidang yang berbeza-beza, jadi orang yang ahli dalam bidang tersebut pula berbeza-beza. Pada zaman penuh fitnah ini, tanggungjawab mencari ilmu yang benar adalah terletak pada bahu sendiri-sendiri, tidak perlu menuding jari dan saling menyalahkan.
Jika kesalahan itu terjadi maka tegurlah secara terus supaya ia boleh diperbetulkan. Barangkali ustaz-ustaz ini juga terlepas pandang.
Sama juga daripada apa yang ditulis di laman web, media sosial, atau yang disebut oleh para influencer atau penceramah yang semakin ramai di ruangan media sosial.
Sungguhpun ayat Al-Quran dan hadis yang dipetik benar, namun tanpa konteks yang tepat juga akhirnya dapat mengelirukan orang ramai dan boleh membawa kepada perbalahan. Itu belum dibicarakan soal adab dalam menuntut dan menyampaikan ilmu yang jelas semakin pudar dan sukar diamalkan.
Justeru, berhati-hatilah dalam mengambil ilmu agama. Gunakan kemudahan internet untuk menapis kembali hal-hal yang dirasa meragukan. Akhirnya, jadikanlah pesanan Rasulullah SAW sebagai pegangan dan peringatan pada hari-hari mendatang.
Rasulullah SAW bersabda,
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah justeru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR. Ibnu Majah, no. 3277 – Disahihkan al-Albani)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.