Oleh Natirah Azira • 29 Jun 2020 • 2 min baca
“Iqra!”
Ia bermaksud “bacalah”. Inilah kalimah yang menjadi sandaran utama dalam Islam tentang pentingnya usaha mencari ilmu bagi seorang Muslim. Sekian banyak anjuran serta pemberitahuan tentang kelebihan menuntut ilmu yang boleh kita temui daripada nas Al-Quran dan hadis, antaranya malaikat akan mendoakan orang yang menuntut ilmu, malah mereka juga akan dimudahkan jalannya ke syurga.
Walau bagaimanapun, jangan kita lupa bahawa fitnah ilmu juga wujud.
Bagaimana?
Iaitu ilmu yang menjadikan seseorang itu ego, angkuh, atau ilmu yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri dan juga orang lain.
Memetik perkongsian Ustaz Hasrizal di laman web miliknya, beliau menukilkan kata-kata Sheikh Fadhl Hasan ‘Abbās (meninggal dunia 9 Februari 2011) di dalam Khumāsiyyāt Mukhtārah fī Tahdzīb al-Nafs al-Ammārah yang menyatakan bahawa ilmu yang terpisah daripada iman, menjadi sebab seseorang itu bersikap angkuh dan melampau.
Dalam artikel di Tzkrh juga ada dikongsikan tentang 4 Ciri Ilmu Yang Tidak Bermanfaat oleh Syeikh Abdurrahman bin Naasir al-Sa’di.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kita satu doa agar kita boleh berlindung daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
(Allahumma inni a’udzubika min ilmin la yanfa’, wa min qolbin la yakhsya’, wa min nafsin la tasyba’, wa min du’a in la yusma’)
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari jiwa yang tidak merasa puas, dan dari doa yang tidak didengar (tidak dikabulkan).” (HR. Abu Dawud no. 1548, An-Nasa’i no. 5536, dan Ibnu Majah no. 3837 – Hadis ini sahih)
Setiap perkara akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak, termasuk dalam hal ilmu. Semoga kita berusaha memupuk taqwa dalam mencari ilmu, mengamalkan ilmu serta menyebarkan ilmu.
“Kemuliaan ilmu itu bukanlah pada sekadar mengetahuinya. Tetapi ia mestilah disertakan dengan niat yang baik, beramal dengannya dan menyebarkannya Lillahi Taala” (Imam Birgivi)
Rujukan:
1. Takutilah Fitnah Ilmu Dan Tahu
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.