Gaya Hidup, Hukum

Trend ‘PM Tepi’ Dalam Perniagaan – Boleh Atau Tidak?

Oleh Fizah Lee  •  29 Jun 2020  •  3 min baca

Jika dilihat dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, setiap orang cuba sedaya upaya untuk memanfaatkannya, terutamanya buat mereka yang menceburi bidang perniagaan.

Daripada ejen, stokis, dropship mahupun peniaga, rata-ratanya lebih gemar mempromosikan perniagaan secara atas talian.

Ia bahkan lebih mendatangkan untung dan juga memberi penjimatan yang berkali ganda, terutamanya buat mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang ini.

Buka sahaja akaun perniagaan sama ada di Instagram mahupun Facebook, ia sudah boleh dipromosikan. Namun, pelbagai ragam pula bagi pembeli yang berdepan dengan online seller ini.

Antara yang menjadi sebutan ialah trend ‘PM Tepi’, singkatan bagi ‘private message’. Dalam erti kata lain, tiada deskripsi lengkap terhadap barang jualan, bahkan pembeli yang berminat diminta menghubungi mereka secara langsung sama ada melalui nombor yang tertera ataupun mesej peribadi di laman sosial yang berkenaan.

Perkara ini menjadi kebiasaan para peniaga. Salah satu sebabnya adalah untuk menarik lebih ramai pengguna media sosial melihat posting tersebut. Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan sebagai langkah mempromosikan produk tersebut dengan lebih dekat.

Namun, persoalannya di sini ialah adakah konsep itu boleh diamalkan baik dari segi undang-undang mahupun dalam Islam sendiri?

Jika dilihat undang-undang yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ia adalah sebuah kesalahan kerana penjual seharusnya mempamerkan maklumat lengkap mengenai produk atau perkhidmatan yang dijualnya.

Maklumat lengkap tersebut termasuklah;

#1 – Harga penuh barangan atau perkhidmatan. Ia adalah termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran.

#2 – Nama penuh perniagaan dan individu yang menjalani perniagaan.

#3 – Nombor pendaftaran perniagaan.

#4 – Alamat penuh, nombor telefon dan emel perniagaan.

#5 – Maklumat penuh produk apa yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan yang diberikan.

#6 – Maklumat bayaran yang lengkap.

#7 – Terma dan syarat jual beli.

#8 – Anggaran tempoh masa produk akan dihantar.

Tindakan ini adalah untuk melindungi pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Manakala, jika peniaga gagal memaparkan lapan perkara di atas, mereka boleh didenda sebanyak RM50 000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Apabila melihat dalam hukum-hakam Islam pula – jika pembeli telah dimaklumkan mengenai sebut harga dan maklumat barang berkenaan sebelum bersetuju membayarnya, maka urusan jual beli itu adalah sah.

Dalam erti kata lain, makluman barang itu adalah sebelum jual beli berlaku dan pembelian itu adalah bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Namun, melihatkan kepada undang-undang yang telah diselia untuk kebaikan bersama, maka penjual perlu mematuhinya bagi kesenangan hati pembeli.

Hubungan baik antara penjual dan bakal pembeli juga boleh terjaga kerana tidak wujudnya masalah yang tidak sepatutnya seperti ketidakkecekapan penjual membalas mesej dan sebagainya.

Hal ini kerana, ada juga yang berpendapat bahawa konsep ini tidak relevan dan lebih memberikan kesukaran kepada pembeli. Ia dilihat apabila penjual menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya dan ada juga penjual yang membalas mesej dengan agak lambat sehingga menghilangkan mood mereka yang ingin membeli.

Justeru, penjualan yang lebih sistematik dan telus adalah diperlukan bagi membolehkan sesi jual beli itu berjalan dengan lancar.

Kesimpulan

Tuntasnya, menjadi kewajipan para peniaga untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ia adalah untuk tidak menjerumuskan para peniaga kepada hukuman-hukuman yang diberikan.

Dalam masa yang sama, ia juga membantu menjadikan perniagaan tersebut lebih sistematik di samping memudahkan para pembeli.

sumber:
KPDNHEP
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami