Hukum, Keluarga

Adakah Derhaka Jika Si Anak Tidak Membayarkan Hutang Arwah Ibu Bapanya

Oleh Fizah Lee  •  29 Jun 2020  •  3 min baca

Apabila seseorang itu meninggal, kebiasaannya ahli waris akan bertanya – “jika si mati mempunyai hutang, maka khabarkanlah kepada ahli keluarga untuk dituntut.”

Maka, dalam hal ini terpulang kepada si pemiutang (orang yang memberi hutang) sama ada untuk menghalalkan hutang tersebut atau menuntutnya. Ia adalah salah satu perkara yang sering diambil perhatian kerana perihal hutang ini sangat berat.

Bahkan, terdapat dalam beberapa riwayat sahih yang menyebut, roh orang yang mati syahid namun masih mempunyai hutang juga akan digantung.

Perkara seperti inilah yang perlu dielakkan. Bimbang jika amalannya banyak, namun disebabkan hak terhadap manusia yang belum dilunaskan, ia menjadi sesuatu yang sia-sia.

Justeru, jika anda seorang yang memberi hutang, sentiasa peringatkan kepada orang yang berhutang untuk membayar hak anda. Ia juga adalah untuk kemudahan anda di akhirat kelak.

Berbalik kepada situasi di atas, apabila si waris telah mengumumkan hal yang demikian, siapa yang bertanggungjawab untuk membayarkan hutang si mati? Adakah kewajipan ini akan bergantung kepada si anak semata-mata?

Dalam hal ini, Ibn Qudamah RA menjelaskan – “Jika si mati tidak meninggalkan harta sedikit pun, maka ahli waris tidak memiliki kewajipan apa-apa. Kerana mereka tidak wajib melunaskan hutang si mayat jika ia muflis ketika masih hidup.” (Al-Mughni, 5/155)

Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin RA memberi penjelasan berkenaan perkara ini dengan menyebut:

“Seandainya mayat mempunyai hutang yang berjumlah RM1000, namun harta yang ditinggalkan sebanyak RM500 sahaja, maka ahli waris tidak boleh dituntut untuk membayar lebih dari RM500. Hal ini kerana, tiada harta dari si mati yang ditinggalkan untuk melunaskan hutang tersebut kecuali dengan jumlah itu sahaja.

Dan mereka juga tidak boleh diwajibkan untuk membayarkan hutang orang tuanya. Maksudnya, jika yang meninggal dalam keadaan punya hutang adalah ayahnya dan hutangnya adalah lebih besar dari warisannya, maka anak tidak diwajibkan untuk membayar hutang ayahnya.” (Al-Qawai’idul Ushul Al-Jamiah, 195)

Dalam hal ini dapat difahami bahawa jika si mati tidak meninggalkan harta yang mencukupi, maka si anak tidak boleh dipaksa untuk membayarkan hutangnya.

Boleh jadi pembayaran itu dilunaskan oleh sesiapa sahaja seperi adik beradiknya atau saudara mara terdekat. Jadi, jangan dipaksa si anak untuk membayarkan hutang orang tuanya sekiranya si anak juga masih belum mampu.

Namun, jika si anak itu mampu untuk membayarkannya, ia boleh dilunasi olehnya. Tidak salah untuk membayarkan hutang orang tua anda bahkan ia adalah salah satu amalan soleh dan sebagai cara untuk membalas jasanya terhadap perngorbanannya membesarkan anda selama ini.

Dalam hal ini juga, jumhur ulama berkata bahawa tidak jatuh hukum derhaka ke atas si anak tersebut kerana hutang yang dilakukan adalah antara si pemiutang dan bapanya.

Kesimpulan

Dalam hal ini, jelaslah bahawa kewajipan membayar hutang orang tua adalah tidak jatuh ke atas anak semata-mata, namun kepada harta si mati.

Jika hartanya tidak mencukupi, barulah boleh diusahakan inisiatif lain untuk membayarkannya seperti dengan menggunakan wang anak-anak atau saudara-mara yang ikhlas ingin membantu.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami