Gaya Hidup

Kefakiran Menghampiri Kekufuran?

Oleh Fazli Abdullah  •  23 Jun 2020  •  4 min baca

Langit tidak selalunya cerah. Ada masanya, cuaca awal paginya cerah tetapi ia tidak sampai ke waktu petang, tiba-tiba hujan turun membasahi bumi. Begitulah kehidupan manusia. Kita tidak dapat menjangka apakah takdir kita pada keesokan harinya.

Adakah Bahagia Atau Derita?

Bagaimana nasib si fakir dan si miskin hari ini? Adakah kuat mengharungi ujian kekurangan harta? Bahkan tiada langsung sebutir nasi di dalam rumah. Allahurabbi.

Betapa hebatnya ujian yang ditanggung mereka. Mereka masih meneruskan usia yang masih tersisa walau dalam serba kekurangan. Kepada insan lain yang berkemampuan, bersyukurlah kerana Allah memberi nikmat yang tidak semua insan lain mampu merasainya. Nikmat dapat makan dan minum antara nikmat yang sentiasa kita rasai setiap hari. Alhamdulillah. Jangan lupa untuk bersyukur kepadaNya.

Kefakiran Menghampiri Kekufuran?

“Hampir saja kefaqiran membawa kekufuran dan hampir sahaja sifat hasad
mengalahkan ketetapan qadar (Allah).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Menurut Ali al-Qary dalam al-Mirqaat, hadis ini sangat lemah. Al-Qari mentafsirkan kefakiran itu sebagai kefakiran jiwa dan hati bukannya kefakiran harta. Kefakiran jiwa sememangnya membawa kepada kekufuran. Oleh itu, kefakiran yang sebenarnya membawa kerosakan kepada diri adalah kefakiran dalam hati kita. Jika hati kita kaya dengan iman, InshaAllah kekufuran dapat dijauhi dan dihindari.

Tetapi tidak dinafikan juga ada sesetengah manusia yang susah yang sanggup bergadai nyawa dan membuat perkara salah semata-mata untuk mendapatkan sedikit makanan untuk mengisi perut yang kekosongan. Ada juga kes, kerana kemiskinan yang melampau seseorang sanggup menolak tepi hukum hakam agama dan ada yang ingin murtad. Kes-kes ini bukan menunjukkan satu berita yang perlu diambil ringan tetapi ia amat membimbangkan.

Sesungguhnya kefakiran dalam bentuk harta juga akan menjejaskan kehidupan sehingga boleh menghampiri kekufuran jika hati tidak ‘disimbah’ dengan cahaya keimanan dan ilmu. Oleh kerana itu, kekufuran tidak akan terjadi kepada mereka yang berusaha dan kaya jiwanya.

Semuanya bukan hanya bergantung pada soal kefakiran tetapi ia mengenai soal hati kita. Bagaimana untuk kita menghadapi ujian kekurangan harta tersebut? Tetapkan hati dalam agama dan bersangka baiklah kepada Allah SWT. Allah menguji kita kerana Dia sayangkan kita.

Apa Tindakan Si Kaya?

Saya amat kagum dan tersentuh dengan perbuatan Ustaz Ebit Lew yang turun ke kawasan pendalaman untuk memberi sumbangan kepada orang-orang yang sangat memerlukan. Subhanaallah!

Lihat sahaja rumah yang didiami mereka. Tidak sanggup untuk diceritakan. Alangkah baiknya ada insan lain yang mempunyai lebihan rezeki dapat membantu mereka yang sebegini. Dalam rezeki kita ada juga rezeki orang lain. Tidak perlulah berkira-kira kerana Allah pasti akan mengantikannya dengan lebih baik. Buatlah kerana Allah kerana Allah pasti tidak akan mengecewakan kita.

Mencintai harta sehingga tidak digunakan kepada membantu orang lain adalah satu sifat yang rugi kerana harta sifatnya bukan abadi tetapi ia akan binasa juga pada akhirnya. Oleh itu, gunakanlah ia ke jalan kebaikan agar bercambah bekalan kita ke akhirat.

Peringatan Nabi Untuk Kita

Daripada Amru bin Auf, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Maka demi Allah, bukanlah kefaqiran aku bimbangkan dibentangkan ke atas kamu tetapi aku bimbang dibentangkan ke atas kamu dunia sepertimana dibentangkan ke atas umat sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sepertimana mereka berlumba-lumba mengejarnya dan ia menghancurkan kamu seperti mana ia telah menghancurkan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya apabila mengikuti sikap dan perbuatan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan Allah SWT.

Janganlah terlalu mengejar dan memburu dunia sehingga melupakan akhirat. Lalu ada yang sombong dan tidak sempat bersujud kepada Allah SWT. Syukur tidak diberikan malah mengagungkan diri bahawa semuanya kerana atas usaha sendiri. Kembalilah kepada Allah SWT. Tidak salah untuk menjadi kaya. Jadilah kaya seperti sahabat Nabi iaitu Sayidina Abu Bakar, Sayidina Uthman, Sayidina Abdul Rahman Bin Auf dan lain-lain.

Mereka diberikan nikmat dunia tetapi mereka tidak melupakan Allah. Malah, nikmat dunia itulah membawa mereka lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Kesimpulan

Kita sebagai manusia saling mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semuanya saling lengkap-melengkapi. Oleh itu, jauhi sifat pentingkan diri. Bantulah orang yang memerlukan. Jangan sekadar untuk ‘menyedapkan’ diri sendiri sahaja.

Bagi yang diberi ujian kefakiran dan kemiskinan, tabahkan hati dan berusahalah sedaya yang mampu. Selain itu, sering-seringlah menambah ilmu pengetahuan agama di masjid-masjid, surau-surau atau di mana saja yang boleh diperoleh pengajian ilmu.

Miskin harta hanya dihadapi di dunia walaupun sukar tetapi janganlah miskin jiwa kerana ia akan membawa derita di dunia dan juga di akhirat. Oleh itu, sentiasa memperbaharui iman dengan banyakkan amalan agar mencapai keredhaan Allah SWT. Kerana keredhaan Allah adalah anugerah nikmat yang terbesar dan terindah.

Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Kemusykilan.islam.gov


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami